MOSCOW 26 Ogos - Presiden Syria, Bashar al-Assad
menyifatkan dakwaan Barat yang menuduh tenteranya menggunakan senjata
kimia sebagai 'tidak masuk akal' dan memberi amaran kepada Amerika
Syarikat (AS) bahawa negara itu akan berdepan dengan kegagalan jika
menyerang Syria.
Beliau yang diwawancara oleh akhbar Rusia, Izvestia dalam
satu laporan yang disiarkan hari ini berkata, Syria tidak akan menjadi
'boneka' kepada Barat dan Washington tidak akan berjaya mencapai
matlamat politiknya melalui perang.
"Dakwaan yang menuduh tentera Syria menggunakan senjata kimia yang
dibuat oleh ahli politik di Barat dan negara lain adalah mengarut,"
katanya kepada akhbar prokerajaan itu.
Beliau turut menuduh AS hanya tahu membuat tuduhan dan kemudiannya baru mencari bukti.
"Kawasan kejadian yang didakwa berlakunya serangan senjata kimia itu
tidak jelas dan tentera Syria berisiko membunuh anggotanya sendiri jika
menggunakan senjata tersebut.
"Ini adalah bercanggah dengan akal fikiran dan tuduhan seperti itu jelas bermotifkan politik," tambah Assad.
Berhubung gesaan tindakan ketenteraan diambil ke atas Syria, beliau
turut memberi amaran kepada negara-negara Barat supaya berhenti
mencampuri hal ehwal dalaman negara lain dan 'mendengar pendapat
rakyat'.
"Kami adalah sebuah negara merdeka dan akan berjuang menentang
pengganas serta membina hubungan dengan mana-mana negara yang kami mahu
demi kebaikan Syria," tegasnya.
Beliau turut memberi amaran kepada AS yang mahu menyerang Syria
sambil menyatakan kempen perang yang dilancarkan oleh Washington sejak
beberapa tahun lalu sering gagal menepati sasaran mereka.
"Jika AS menyerang Syria, negara itu bakal menghadapi kegagalan, sama
seperti semua perang yang disertainya bermula dari Perang Vietnam,"
ujarnya. - AFP
Dahulu Sadam Husin beginilah.