Sayap pemuda Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa)
mengejutkan ramai pihak apabila membuat gesaan supaya Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan ekoran gagal menguruskan negara
dengan baik.
Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris membuat kenyataan kontroversi
itu dalam tulisan di blognya bertajuk "Sudah Cukup Segalanya Digadai, Hj
Najib Wajar Meletakkan Jawatan."
"Saya tidak tahu Wira Perkasa ada kuasa yang begitu besar untuk paksa
perdana menteri meletak jawatan," kata Datuk Abdul Rahman Abu Bakar
kepada The Malaysian Insider, serta meluahkan rasa terkejut atas
kenyataan Irwan itu.
Menurut Timbalan Presiden Perkasa itu, beliau akan menemui Irwan dalam
masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan itu.
Kenyataan Irwan bagaimanapun tidak begitu mengejutkan kerana Presiden
Perkasa, Datuk Ibrahim Ali sangat kritikal kepada strategi pilihan raya
Najib, mengatakan baru-baru ini kumpulan itu tidak berpihak kepada
mana-mana parti politik selepas Pilihan Raya 2013.
Ibrahim sudah menyatakan pendirian ini kepada penaung Perkasa, Tun Dr
Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan bersama bekas perdana menteri itu,
di mana Najib menerima kritikan ekoran kelemahan prestasi Barisan
Nasional (BN) dalam pilihan raya 5 Mei.
Seorang pemimpin Perkasa berkata, Dr Mahathir memahami langkah Perkasa
untuk tidak memihak kepada mana-mana parti politik dalam pilihan raya
akan datang walaupun majoriti ahlinya adalah ahli Umno. Tetapi kumpulan
hak Melayu itu tidak pernah meminta Najib letak jawatan.
Irwan memberitahu The Malaysian Insider minggu ini bahawa perdana
menteri sudah diberikan masa mencukupi, malah ketika pertemuan dengan
Perkasa baru-baru ini, beliau menegaskan Perkasa menuntut Najib segera
berubah dan mengutamakan kumpulan pengundi Melayu yang memilih untuk
mengekalkan kerajaan. Namun Najib masih berpeluk tubuh tanpa sebarang
tindakan.
"Najib masih lagi tidak berubah. Kita sudah beri masa, tapi sekarang
keadaan semakin serius. Kes jenayah, isu kalimah Allah, semua ini
berlaku apabila ketika pilihan raya itu banyak sangat perkara dilakukan,
seperti pemansuhan ISA dan banyak lagi," katanya merujuk tindakan
kerajaan Najib memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan juga Akta
Ordinan Darurat sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.
"Perkara terbaik dia buat adalah letak jawatan kerana keadaan semakin teruk, tidak bertambah baik," katanya.
Irwan berkata, masyarakat Melayu memilih Barisan Nasional (BN) bersama
dengan bantuan masyarakat India, namun Najib tetap gagal membela dua
kumpulan ini sedangkan pengundi Cina yang menyokong BN adalah bilangan
yang cukup kecil.
"Kita juga melihat Najib gagal menjaga orang yang undi dia. Melayu yang
beri kuasa untuk dia memerintah dengan bantuan orang India, orang Cina
hanya lapan peratus sahaja," katanya kepada The Malaysian Insider.
"Kita sudah beri masa, bukan kita terus mendesak (Najib letak
jawatan)," katanya lagi, menegaskan itu adalah pendirian Wira Perkasa
dan langkah terakhir yang dilakukan mereka.
"Ini pendirian Wira Perkasa. Saya tidak tahu pendirian kepimpinan Pusat
Perkasa. Ini yang maksimum kita boleh buat. Kita pun ada sedikit
sumbangan untuk BN dalam PRU lepas," katanya.
Dalam laman blognya, Irwan menulis:"1 Malaysia, BR1M, memberi
peruntukan berlebihan kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan terbukti
GAGAL.
"Ini kerana kepimpinan yang mahu mendapatkan undi kaum Cina sebanyak 26
peratus dan undi kaum India . Bagi kaum Cina ia terbukti gagal,
peratusan kaum Cina itu keluar mengundi meningkat, tetapi peratusan yang
dapat kepada kerajaan hanya 8 peratus. Manakala kaum india yang ramai
menyokong kerajaan. Tetapi kadar jenayah daripada kaum ini meningkat."
Beliau turut membangkitkan kegagalan slogan "1Malaysia" Najib dan juga
Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang menurutnya adalah "rasuah yang
dihalalkan oleh kerajaan."
"Malangnya kepimpinan tertinggi negara masih lagi menagih kepada kaum
ini, melantik orang yang tidak sepatutnya dilantik. Laungan 1Malaysia
ini dilaungkan oleh pengampu, saya mahu tanya apakah 1Malaysia ini
berjaya? Jika pada pandangan saya ia terbukti gagal," katanya dalam
posting blog berkenaan. – 28 Ogos, 2013.