BUKIT MERTAJAM 16 Ogos - Selepas rakaman video perbuatan seorang
lelaki membelasah isterinya di dalam lif tersebar di internet, seorang
pegawai veterinar hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas
tuduhan sengaja mencederakan wanita tersebut di sebuah hospital, empat
hari lalu.
Mohammad Affandi Ismail, 36, yang merupakan penjawat awam yang
bertugas di Jerantut, Pahang mengaku tidak bersalah serta minta
dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan kepadanya di hadapan
Majistret Arif Mohammad Shariff.
Dia yang memakai baju-T berwarna ungu dan berseluar jean biru
kelihatan tenang ketika prosiding berjalan dan dilihat beberapa kali
tersenyum kepada ahli keluarganya dan pemberita yang memenuhi galeri
awam mahkamah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan
kecederaan terhadap isterinya yang berusia 36 tahun di dalam lif di
Hospital KPJ Bandar Perda di sini kira-kira pukul 4 petang, 12 Ogos
lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi
Ibrahim mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman
penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Suhaimi menawarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang
penjamin terhadap tertuduh sementara Mohammad Affandi memohon jumlah itu
dikurangkan atas alasan baru sahaja menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Mahkamah kemudian membenarkan lelaki itu dibebaskan dengan jaminan
RM5,000 berserta seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 12
September ini.
Mohammad Affandi yang tidak diwakili peguam bela dibebaskan selepas membayar wang jaminan.
Sejak selasa lalu, pengguna internet di negara ini digemparkan dengan
rakaman video sepanjang 2.20 minit yang memaparkan kejadian seorang
isteri dibelasah teruk oleh suaminya di hadapan dua anak mereka yang
masing-masing berusia empat dan lima tahun di dalam sebuah lif dikongsi
melalui akaun Facebook.
Lebih malang lagi dalam video bertajuk 'Suami dayus pukul isteri
depan anak' turut menunjukkan aksi lelaki berkenaan menendang isterinya,
seorang pekerja kilang sehingga tersungkur sebaik sahaja pintu lif
terbuka.
Memetik laporan akhbar hari ini, wanita itu yang diberi perlindungan
sementara (IPO) sedang dalam proses perceraian dengan suaminya di
mahkamah syariah dan nekad untuk berpisah serta tidak akan rujuk kembali
sekalipun dipujuk oleh lelaki itu. - Utusan
Sampai hati.