Polis berjaya mendapatkan perintah untuk menahan reman balu kepada
bekas pengasas al-Arqam, Hatijah Aam selama empat hari bagi siasatan
berhubung dakwaan penyelewengan dana rumah amal anak yatim.
Laporan Berita Harian
menyebut, Hatijah pada awalnya ditahan selepas melaporkan diri di
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi membantu siasatan mengikut Akta
Anti Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2011.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Syed Ismail
Syed Azizan dalam laporan itu mengesahkan bahawa pasukannya menahan
Hatijah pada jam 12.20 tengah hari semalam.
"Kita mengambil
keterangan Hatijah berhubung dakwaan terhadapnya. Kertas siasatan sudah
dibuka dan siasatan dijalankan. Polis memandang serius kes penyelewengan
dana anak yatim kerana ia membabitkan kepentingan awam," katanya
seperti dipetik akhbar harian itu.
Akhbar berkenaan turut menyebut mengenai dakwaan penyelewengan akidah Hatijah dalam laporan sebelum ini.
Menurut Berita Harian lagi, laporannya turut mendakwa Hatijah terlbat dalam kes penyelewengan dana anak yatim.
Al-Arqam
diharamkan pada 1994. Susulan itu, anggota keluarga dan saki baki
pengikut kumpulan tersebut menubuhkan kumpulan syarikat Global Ikhwan
Sdn Bhd.
Menurut laporan Berita Harian, bekas ahli syarikat tersebut turut tampil membuat laporan polis berhubung dakwaan sama. - Malaysiakini