Dalam masyarakat yang rencam agama dan budaya, pelbagai perkara sensitif
mudah timbul. Di zaman teknologi maklumat, bermacam sudut pandang akan
muncul. Sememang inilah realiti masyarakat ‘era baru' kini yang
mempunyai pelbagai dimensi dan perspektif baru yang tidak dimiliki oleh
generasi yang hidup dalam era yang lepas.
Umpamanya apabila isu
video anjing yang dikaitkan dengan umat Islam menyambut hari raya
timbul, pelbagai reaksi lahir. Ada yang kata anjing binatang yang
dimusuhi Islam. Ada yang kata video itu hina umat Islam.
Ada
yang kata perbuatan memegang anjing diharamkan oleh Islam. Ada pula yang
kata, apa salahnya kita membela anjing macam orang lain. Macam-macam
lagi yang ditimbulkan. Ada yang berdasar fakta, ada berdasar emosi.
Ramai
yang meminta saya mencoretkan sesuatu tentang anjing pada pandangan
muslim. Dalam ruang yang terbatas ini, saya ingin sebutkan secara
ringkas isu-isu berikut:
Samakan dengan anjing
Walaupun
manusia mempunyai pelbagai latar budaya dan agama, namun secara umumnya
semua masyarakat menganggap menyamakan mana-mana individu dan pihak
dengan anjing merupakan satu penghinaan.
Sekalipun masyarakat Barat ramai yang menganggap ‘a dog is a man's best friend' namun jika kita berkata ‘you are like a dog'
ia merupakan satu penghinaan. Jika pun ada yang memahami dengan maksud
kesetiaan ataupun loyalty namun ia bermaksud kesetiaan yang membuta
tuli.
Al-Quran juga menjadikan anjing sebagai satu perumpamaan
yang buruk bagi golongan ulama penjilat dunia yang menjual prinsip
kebenaran demi kepentingan diri. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan
bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang
Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia
menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh
syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki
nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu,
tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa
nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau
menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya,
ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang
mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya
mereka berfikir (Surah al-'Araf: 175-176).
Jadi, jika
masyarakat muslim sensitif apabila mereka ataupun amalan mereka
dibandingkan dengan anjing, maka itu memang sepatutnya. Mereka yang
membuat apa-apa provokasi dalam hal yang seperti itu memang membuat onar
dan ingin menimbul permusuhan dengan masyarakat muslim tanpa sebab.
Perbuatan itu merosakkan keharmonian masyarakat di negara ini.
Islam benci anjing?
Ada orang bertanya pula, jadi apakah Islam membenci anjing dan melarang muslim berbuat baik kepada binatang berkenaan?
Dalam
al-Quran, Allah menceritakan tentang anjing yang mengiring para pemuda
al-Kahfi dan turut bersama mereka semasa berjuang menghadapi rejim yang
zalim pada zaman mereka. Firman Allah yang bermaksud:
"Dan
engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami
balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah
kiri; sedangkan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu
gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling
melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa amat gerun
takut kepada mereka." (Surah al-Kahfi, ayat 18).
Anjing
tersebut melambangkan binatang yang bersahabat dengan para pejuang
kebenaran. Anjing itu lambang kemuliaan. Sesetengah riwayat Yahudi
menamakan anjing itu ‘qidmir'.
Sementara dalam hadis pula, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
"Diampunkan
dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi
sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka
pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan
tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan
disebabkan kejadian itu" (Riwayat al-Bukhari).
Betapa
seorang pelacur yang buruk sekalipun diampuni dosanya oleh Allah kerana
dengan ikhlas memberikan minum kepada seekor anjing. Bagaimana mungkin
untuk kita menganggap bahawa Islam tidak menilai sebagai satu perbuatan
yang baik jika muslim memberi makan dan minum kepada anjing? Jika ada
orang muslim yang memberi makan kepada anjing patutlah dipuji.
Bolehkah muslim memiliki anjing?
Dalam al-Quran, Allah menyebut yang bermaksud:
"Mereka
bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan
bagi mereka?" bagi menjawabnya: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang
baik-baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu
yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih
binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan
berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu, oleh itu
makanlah dari apa yang mereka (binatang-binatang buruan) itu tangkap
untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya
berburu); dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha cepat
hitungan hisab-Nya" (Surah al-Maidah, ayat 4)
Binatang
pemburu yang biasa digunakan ialah anjing. Kitab-kitab tafsir seperti
Tafsir Ibn Kathir dan selainnya akan menyebut anjing sebagai pemburu
utama. Juga perkataan mukallibin dalam ayat ini boleh bermaksud
tuan-tuan empunya anjing seperti yang disenarai oleh al-Imam Ibn
al-Jauzi (meninggal 597H) dalam Zad al-Masir.
Ertinya,
muslim memiliki anjing buruan. Demikian dia boleh memiliki anjing yang
menemaninya berjalan atau menjaga keselamatan rumah seperti anjing Ashab
al-Kahfi yang disebutkan tadi.
Bolehkah muslim memegang anjing?
Ada
yang menyatakan haram memegang anjing kerana najis. Kalau kerana ia
najis haram dipegang, maka haram juga seseorang menyentuh najis dirinya,
ataupun anaknya ataupun sesiapa di bawah jagaannya ketika
membersihkannya.
Haramlah juga mereka yang berkerja yang
membabitkan bahan-bahan bernajis seperti mencuci tandas ataupun darah
ataupun nanah dan lain-lain. Begitu juga dengan doktor veterinar. Maka
itu kesimpulan hukum yang cetek.
Najis boleh disentuh tetapi
hendaklah dibasuh apabila kita hendak beribadat ataupun berurusan dengan
masyarakat. Menyentuh anjing yang kering sepakat ulama tidak najis.
Menyentuh anjing basah khilaf pendapat dalam kalangan sarjana. Mazhab
Syafie agak tegas dalam hal ini.
Namun, pendapat-pendapat mazhab
lain lebih luas dan mudah. Sebahagian fuqaha hanya membataskan najis
anjing itu hanya jilatannya kerana itu sahaja yang disebut dalam hadis
Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Apabila anjing menjilat bekas seseorang kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah" (Riwayat al-Bukhari).
Memelihara anjing dalam rumah
Adapun memelihara anjing dalam rumah tanpa sebab adalah tidak digalakkan oleh Islam. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa
yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga
ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit
Uhud)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan
hadis ini, maka sekurang-kurangnya memelihara anjing tanpa sebab yang
disebutkan berada pada hukum makruh. Ada ulama yang mengharamkan. Namun
hadis di atas tidak menyebut dosa, tetapi pengurang pahala sahaja.
Maka,
hukum makruh dipilih oleh sebahagian fuqaha. Hikmahnya, mungkin atas
beberapa sebab yang berkaitan kerohanian dan kemasyarakat.
Islam
menyuruh kita mengalukan tetamu. Bukan semua orang suka dengan anjing.
Baunya dan juga salakannya boleh menakutkan sesetengah orang. Sesiapa
yang pernah pergi ke rumah pemelihara anjing, atau menaiki kenderaan
yang ada anjing dia akan tahu baunya yang bukan semua orang dapat
bertahan.
Salakan anjing dan bulu-bulu di sana-sini bagaikan
tidak mengalu-alukan tetamu. Sedangkan Islam agama kemasyarakatan dan
hubungan baik antara jiran, saudara-mara dan sahabat handai.
Dari
segi keselamatan dan kesihatan juga mempunyai kemerbahayaannya. Gigitan
anjing, najis serta jilatannya merbahaya. Banyak penyelidikan yang
telah dibuat tentang hal ini. Apabila Islam cuba mengelakkan bahaya
anjing yang dipelihara dalam rumah dengan melarang penganutnya berbuat
demikian, bukan itu bererti penindasan terhadap anjing.
Betapa
banyak binatang yang manusia elakkan dari menghampirinya kerana
kemerbahayaannya. Itu semua bukan bererti penindasan atau kekejaman!
Dalam
hadis tadi Nabi SAW bersabda: "Apabila anjing menjilat bekas seseorang
kamu, maka basuhlah sebanyak tujuh kali. Salah satunya dengan tanah"
(Riwayat al-Bukhari).
Untuk mengelakkan jilatan anjing yang
sentiasa menjelir lidah, yang dianggap najis dari segi agama dan juga
bahaya dari segi saintifik maka Islam melarang untuk kita memelihara
anjing di dalam rumah tanpa alasan yang diizinkan.
Maka ini ringkasan yang sempat saya coretkan petang ini berhubung dengan sisi pandangan nas-nas Islam berkaitan dengan anjing.
Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin adalah bekas mufti Perlis. - Malaysiakini