PM: Kerajaan kaji beri bonus kepada penjawat awam
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan
memberi bonus kepada penjawat awam menjelang ketibaan Hari Raya
Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.
Perdana Menteri berkata kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.
"Kita
akan mengkaji perkara ini. Masih ada masa lagi," katanya dalam satu
persidangan media di bilik mesyuarat khas pejabatnya di sini sejurus
selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Pihak
Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan empat syarikat yang
bersetuju melabur RM1.96 bilion di negeri-negeri di kawasan Koridor
Utara.
Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai
kemungkinan ada berita baik buat 1.4 juta penjawat awam berikutan
permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(Cuepacs) semalam yang masih berharap kerajaan akan memberi bonus
setengah bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima
kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.
Sebelum ini,
Presidennya Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbang pemberian
bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam sempena Aidilfitri kerana
ia dapat mengurangkan beban penjawat awam membuat persiapan hari raya
kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi
berbanding hari biasa.
Kenyataan Cuepacs itu menyusul sehari
selepas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata kerajaan
masih belum berbincang mengenai pemberian bonus, dan pengumuman Kenaikan
Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini sudah boleh dianggap
sebagai bonus - Bernama