KUALA LUMPUR 16 Julai - Ahli Parlimen Barisan
Nasional (BN) dan pembangkang hari ini sepakat mahu kerajaan mengenakan
tindakan paling tegas terhadap pasangan kontroversi Alvin Tan, 25, dan
Vivian Lee, 24, ekoran kebiadapan mereka menghina kesucian agama Islam.
Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang bangkit dan
mencetuskan isu itu pada sesi perbahasan Dewan Rakyat berkata, perbuatan
pasangan tersebut tidak boleh dibiarkan dan mereka perlu ditahan,
didakwa dan dipenjarakan sekiranya sabit kesalahan.
Tegasnya, pasangan tersebut bukan contoh yang baik kepada remaja masa
kini di negara ini dan sewajarnya mereka dihukum dengan hukuman
seberat-beratnya.
"Saya minta pihak polis tahan mereka di lokap tiga malam, biar mereka
rasa bagaimana penderitaannya, tiga malam cukup. Selepas itu dakwa
mereka di mahkamah," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang
Perbekalan Tambahan (2012) 2013 di Dewan Rakyat hari ini.
Bung Moktar berkata, sekiranya tiada tindakan tegas diambil, dalam
masa sama akan terdapat pula orang Islam mengutuk agama lain yang sudah
pasti akan timbul ketegangan agama sekali gus menjerumuskan Malaysia
bukan sebuah negara selamat.
Terdahulu pada awal perbahasan, Bung Moktar berkata, tindakan Alvin
dan Vivian yang memuat turun ucapan selamat menyambut bulan Ramadan
dengan menjamu selera hidangan bak kut teh (sup tulang babi) lengkap
dengan logo halal benar-benar mengejutkan rakyat negara ini.
"Saya hairan mengapa akhir-akhir ini perilaku remaja dalam negara
begitu liar seolah-olah tiada penghormatan. Bagi saya soal agama bukan
lagi soal toleransi tetapi penghormatan penerimaan.
"Sebab itu saya melihat ramai pemimpin dari suku Tionghua yang turut mengutuk tindakan pasangan ini," katanya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh)
ketika bangkit mencelah berkata, pihaknya tidak akan mengizinkan
mana-mana pihak dengan sengaja menghina agama Islam seperti mana
dilakukan oleh Alvin dan Vivian.
Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan membenarkan mana-mana pihak menghina kepercayaan agama lain.
"Ini pendirian kita yang amat tegas yang kita laksanakan tetapi
khusus untuk menyokong pendirian Kinabatangan. Saya tidak fikir kita
patut lengahkan, siasatan segera dan tindakan (perlu) diambil sebagai
satu pengajaran. Undang-undang mesti dipatuhi, penghinaan agama tidak
boleh diizinkan," katanya.
Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) dalam celahannya mahu semua pihak melihat insiden yang berlaku itu secara menyeluruh.
"Saya fikir gejala membangkitkan isu sensitif seperti ini harus dibendung bersama demi negara dan masa depan (rakyat)," ujarnya. - Utusan