IPOH 7 Julai - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menggalakkan
pemilik rumah kosong dan terbiar di luar bandar agar mengusahakan
program inap desa bagi menjana pendapatan.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, usaha
mempromosikan produk pelancongan, tidak seharusnnya melibatkan hanya
agensi pelancongan atau pemilik hotel, malah penduduk tempatan juga
patut melakukannya menerusi perusahaan inap desa.
"Banyak rumah-rumah di kawasan luar bandar yang lama dan terbiar
kerana anak-anak mereka telah keluar duduk di Kuala Lumpur, mengapa
tidak rumah itu dijadikan sebagai inap desa," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan projek peningkatan kemudahan Kellie's Castle di sini
hari ini.
Dengan cara itu, katanya, lebih ramai pelancong akan berkunjung
kawasan luar bandar selain dapat mempelajari budaya di sesuatu kawasan.
Malah, katanya, penduduk tempatan juga boleh memperoleh keuntungan
hasil daripada pembukaan restoran, serta menawarkan khidmat sebagai
pemandu pelancong.
Mengenai usaha menaik taraf kemudahan di Kellie's Castle, beliau
berkata projek tersebut yang menelan kos sebanyak RM5 juta itu bermula
pada 28 Sept 2011 dan selesai pada 10 April lepas.
Katanya, komponen projek antaranya menaik taraf gerai, tandas awam,
alat permainan kanak-kanak, pintu masuk, pusat latihan, ruang pameran
dan pembinaan mini teater.
Mohamed Nazri berharap projek yang dilaksanakan kementeriannya itu
menjadi pemangkin kepada perkembangan industri pelancongan Malaysia
khususnya di Perak sekali gus menyediakan lebih banyak peluang ekonomi
kepada penduduk setempat. - BERNAMA