KULIM - Seorang guru maut dipercayai ditembak dua lelaki yang
bermotosikal di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Keladi di sini
tengah hari tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Mohd Nashir Ya berkata
K.Shanmugam, 45, didapati dalam keadaan berlumuran darah di dalam kereta
Toyota Wish miliknya.
Kejadian berlaku kira-kira 12.25 tengah hari tadi ketika mangsa
dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Bidara ke Sekolah
Menengah Kebangsaan Berapit, Bukit Mertajam.
Beliau berkata dua lelaki tersebut dikatakan telah mengikuti kereta mangsa sebelum melepaskan tembakan.
"Salah seorang dari suspek dipercayai telah melepaskan beberapa das
tembakan yang mengenai kepala dan badan mangsa. Ini mengakibatkan kereta
mangsa terbabas dan melanggar sebuah kereta di hadapan," katanya kepada
pemberita di tempat kejadian.
Mohd Nashir berkata kedua-dua suspek kemudiannya memecut motosikal mereka.
Mangsa dipercayai ditembak dengan pistol automatik dan polis turut menemui beberapa kelongsong peluru di tempat kejadian.
"Kita akan mengambil keterangan daripada beberapa pihak termasuk ahli
keluarga mangsa. Buat masa ini kita belum dapat kenal pasti punca
sebenar kejadian," kata Mohd Nashir.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kulim.
Seorang pemandu Mat Lin Saad, 62, berkata beliau sedang memandu di
hadapan kereta mangsa dan apabila tiba di simpang lampu isyarat
tersebut, beliau terdengar bunyi letupan seperti mercun.
"Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi kereta saya dilanggar
dari belakang. Saya turun dari kereta saya untuk melihatnya dan
mendapati orang ramai sudah mengerumun kereta di belakang saya. Saya
turut melihat mangsa yang berlumuran darah meronta-ronta sebelum tidak
lagi bergerak," katanya.
Zulkiffli Itam, 45, pula berkata beliau yang berada di jalan yang
bertentangan ternampak dua lelaki menaiki motosikal mengekori kereta
mangsa.
"Tidak lama selepas itu, saya terdengar bunyi seakan-akan mercun dan
dua lelaki yang menaiki motosikal itu terus memecut motosikal mereka ke
arah Taman Selasih," katanya. - Bernama
Malaysia ke arah negara koboi?