Pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee hari ini mengaku tidak
bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan
berhubung tindakan mereka mempersendakan umat Islam dan Ramadan alam
Facebook serta mempamerkan gambar-gambar lucah dalam blog mereka.
Pertuduhan
terhadap Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau nama
penuhnya Lee May Ling, 24, dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
Bagi
pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menerbitkan satu
enerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian - Alvivi' di
pautan ttps://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar
dan komen yang bertajuk "Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut
Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!" yang mengandungi logo Halal.
Pasangan
itu didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.48 malam antara 11
Julai dan 12 Julai lepas di 568-14-18, Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu
3 1/2, di Kuala Lumpur.
Mereka didakwa mengikut subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.
Bagi
kesalahan pertama kali, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM5,000
atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan
berikutnya, boleh dipenjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
Bagi
pertuduhan kedua, Tan dan Lee didakwa mempamerkan gambar-gambar lucah
di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama, antara 6 Julai dan 7
Julai lepas, antara 9 malam hingga 2 pagi.
Mereka didakwa
mengikut subseksyen 5(1) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman
denda minimum RM10,000 atau maksimum RM50,000 atau boleh dipenjara
sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pasangan
itu juga didakwa memuat naik di laman Facebook mereka satu kandungan
gambar dan komen yang sama, berkemungkinan menyebabkan perasaan
permusuhan atas alasan agama di kalangan penganut agama berlainan.
Kandungan itu telah dibaca di CAF - Syed Restaurant Jalan Dang Wangi antara 11 Julai dan 12 Julai pukul 10.48 malam.
Mereka
didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun jika sabit
kesalahan.
Pasangan itu kelihatan tenang dan bersahaja ketika
pertuduhan dibacakan satu persatu kepada mereka dan masing-masing
berkata: "Saya minta dibicarakan".
Hakim Murtazadi tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin atas sebab kepentingan awam.
"Mahkamah tidak akan terpengaruh dengan unsur-unsur luar dalam memberi jaminan kepada tertuduh," tegas hakim itu.
Terdahulu,
Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin memohon supaya tertuduh tidak
dibenarkan diikat jamin bagi dua kesalahan iaitu memuat naik kandungan
gambar dan komen berhubung berbuka puasa dan mempamerkan gambar-gambar
lucah.
Beliau memberikan dua alasan iaitu kesalahan di bawah
Seksyen 298A(1)(a) dan Akta Penapisan Filem, memang tidak boleh dijamin.
"Sememangnya
kami akur budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan dalam dua
pertuduhan itu, tetapi pihak pendakwaan membantah sebarang jaminan
dikenakan," kata Noorin.
Alasan kedua pula ialah kedua-dua
tertuduh mempunyai kecenderungan untuk memuat naik gambar yang boleh
membangkitkan kemarahan orang ramai.
"Pihak pendakwaan memohon mereka tidak dilepaskan dengan sebarang jaminan sehingga selesai perbicaraan kes itu," katanya.
Peguam
Chong Joo Tian, yang mewakili kedua-dua tertuduh, memohon jaminan
diberikan kepada anak guamnya dengan alasan pertuduhan yang dihadapi
mereka belum dibuktikan dan bersifat pramatang.
Chong berkata
pihak pendakwaan tidak boleh membuat spekulasi bahawa kedua-dua
tertuduh mempunyai kecenderungan untuk melakukan kesalahan yang sama
kerana mereka belum didapati bersalah.
"Kedua-dua anak guam
saya memberi kerjasama sepenuhnya kepada SKMM dan polis ketika siasatan
dilakukan dan mereka juga tidak mempunyai rekod jenayah selain kesalahan
itu tidak melibatkan sebarang bentuk keganasan," katanya.
Timbalan
Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff pula berhujah mahkamah perlu mengambil
kira keadaan sekeliling dalam menentukan sama ada jaminan dapat
diberikan atau tidak.
"Nama Alvin Tan sangat dikenali dan
bila kita 'Google' sahaja nama Alvin, akan timbul gambar dan artikel
mengenainya yang mana jika tidak dikawal boleh memusnahkan masyarakat
dan agama. Tidak dinafikan kesalahan itu tidak melibatkan keganasan
tetapi ia kesalahan serius," katanya.
Noorin juga memohon
supaya ketiga-tiga kes itu dibicarakan bersama mengikut Seksyen 170
Kanun Tatacara Jenayah kerana melibatkan satu transaksi dan saksi yang
sama.
Bagaimanapun, Chong memohon pertuduhan kedua
dibicarakan berasingan kerana pertuduhan pertama dan ketiga merupakan
satu perbuatan tetapi pertuduhan kedua melibatkan penerbitan
gambar-gambar lucah yang disiarkan di laman web berlainan.
Noorin
menjelaskan Seksyen 170 membolehkan kesalahan-kesalahan jenayah
dibicarakan bersama walaupun ketiga-tiganya adalah berlainan dan pihak
pendakwaan akan membuktikan kesalahan itu berlaku dalam transaksi sama.
Hakim Murtazadi membenarkan ketiga-ketiga kes itu dibicarakan bersama dan menetapkan 23 Ogos untuk sebutan semula kes.
Beliau turut memberi peluang kepada kedua-dua tertuduh mengemukakan alasan mengapa jaminan perlu diberikan kepada mereka.
Alvin
berkata: "Saya mahu dijamin. Saya tidak memegang apa-apa kuasa,
kedudukan, kekayaan mahupun pekerjaan dan semua barang multimedia
dirampas oleh SKMM yang menjejaskan kecenderungan saya untuk memuat naik
gambar dan mengakses Internet".
Vivian, yang merupakan guru tadika, pula berkata: "Saya juga ingin dijamin dan saya mempunyai pendapat yang sama dengan Alvin".
Alvin ditahan di Penjara Sungai Buloh manakala Vivian di Penjara Kajang. - Bernama