Selepas 12 hari masa berkempen, hari ini pemilih di Kuala Besut akan
menentukan, antara dua 'anak kampung' BN dan PAS, siapakah yang akan
menjadi pilihan mereka untuk ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Nasib
calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, seorang jurutera dan calon
PAS, ahli perniagaan, hari ini akan ditentukan oleh 17,713 pemilih di
kawasan berjiran dengan negeri Kelantan itu.
Jika Tengku Zaihan memang, status quo akan kekal.
Bagaimanapun,
jika keadaan sebaliknya, situasi baru yang tidak pernah terjadi akan
disaksikan apabila BN dan Pakatan Rakyat masing-masing mempunyai kerusi
sama banyak dalam DUN.
Keadaan itu, oleh kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, membolehkan segala kemungkinan.
Peti
undi dibuka pada jam 8 pagi. Keputusan paling awal akan diketahui pada
jam 10 malam ini, selepas umat Islam selesai menunaikan solat tarawih.
Berikut laporan langsung oleh wartawan Malaysiakini di lapangan:
10.45am Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata jumlah keluar mengundi setakat jam 10 pagi cukup tinggi.
"Saya harap ia berterusan," katanya dalam sidang media.
10.30am: SK Nail -
'Kempen sihat' kelihatan di Kampung Nail apabila terdapat penyokong PAS
mengambil peluang bergambar dengan calon BN Tengku Zaihan.
"Saya tiada masalah, ini kempen sihat," kata seorang penyokong PAS dari Dungun yang enggan dinamakan.
10am: Peratus keluar mengundi setakat ini sebanyak 31 peratus atau 5,147 orang.
Jika dicampur dengan undi awal sebanyak 911 orang, jumlahnya menjadi 34 peratus (6,059 orang).
9.48am: Jeti Kuala Besut -
Ketika suasana di pusat pengundian makin panas, sekitar kawasan jeti
masih kekal tenang. Orang ramai kelihatan kurang berbanding hari-hari
lain.
Pelancong seperti biasa bersarapan dan bersedian menaiki feri ke Pulau Perhentian.
Sementara
itu, laman Facebook rasmi pilihan raya kecil Kuala Besut PAS
melaporkan, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat juga turun melawat
di unit peti undi Kg Nangka sebentar tadi.
9.15am: SK Kg Nangka - Ahmad
Said cuba membantu menyorong seorang warga emas yang berkerusi roda
memasuki pusat mengundi tetapi dibantah oleh seorang penyokong parti,
menyebabkan perselisihan kecil.
Akhirnya, setelah ditenangkan,
Ahmad membatalkan hasratnya itu dan memasuki kawasan sekolah itu. Warga
emas kemudian disorong oleh individu lain.
Sebelum itu, di SK Kg Nangka - Calon PAS Che Long beredar
daripada pusat pengundian itu, selepas 20 minit meluangkan masa membuat
lawatan di situ dan beramah mesra dengan pengundi.
Tidak berapa lama kemudian, menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said turut beredar daripada pusat pengundian itu.
Sementara
kedua-dua penyokong berbaris di luar kawasan sekolah di tepi jalan
sambil memegang dan menunjukkan poster calon masing-masing kepada
pengundi yang berjalan ke pusat pengundian dan kenderaan yang lalu
lalang di situ.
Sementara itu, di SM Kuala Besut,
Naib Ketua Wanita MCA Heng Seai yang berdiri di depan sekolah itu
berkata, perjalanan hari mengundi setakat ini nampak aman dan harmoni.
"Walaupun
mereka daripada parti yang berbeza, tetapi mereka saling mengenali
antara satu sama lain, ini budaya yang sangat berbeza," katanya.
Terdapat 148 pengundi Cina di Kuala Besut, tidak sampai 1 peratus daripada jumlah pemilih keseluruhan.
Seramai 114 daripada mereka akan mengundi di Sebarang Barat dan selebihnya di Bukit Puteri.
9.08am: SMK Kuala Besut - Beberapa penyokong PAS mula mempamerkan kain rentang dan plakad di kedua-dua tepi jalan di hadapan sekolah bagi merayu undi.
8.50am: SK Kg Baharu - Menteri
Besar Datuk Seri Ahmad Said tiba di pusat pengundian itu tetapi
disambut dengan laungan takbir oleh majoriti penyokong PAS.
Bagaimanapun beliau hanya mampu tersenyum. Manakala laungan "Hidup BN" oleh penyokong BN tenggelam laungan takbir penyokong PAS.
"Setakat
ini saya berpuas hati perjalanan pilihan raya. Semuanya aman dan saya
berharap ia berterusan sehingga pusat pengundian ditutup.
"Saya berharap penyokong kedua-dua pihak tidak mencetuskan provokasi.
"Insya-Allah, BN mampu mempertahankan DUN Kuala Besut," katanya ketika ditemui pemberita diluar pusat mengundi.
8.25am SK Kg Baharu -
Pengurus kempen kepada calon PAS mengakui hari ini merupakan
pertarungan sengit antara Azlan dan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul
Rahman.
"Hari
ini kita akan mendapat undi PAS dan undi Che Long (daripada pengundi).
Dapat dua undi. Kalau ada penipuan, itu yang menyebabkan kita jatuh.
"Rakyat teruja dengan Che Long kerana beliau sangat friendly, kebaikan dan kemurahan hati yang terjalin sebelum itu.
"Sentimen
politik itu tak ada dengan rakyat di sini. Semua orang didampingi oleh
Che Long mungkin kerana dia seorang kontraktor," kata Hanafiah yang
ditemui Malaysiakini di luar sekolah.
8.20am: SMK Kuala Besut - Tengku Zaihan, calon BN tiba untuk membuang undi ditemani isteri berpakaian baju Melayu merah.
Menariknya, beliau menunaikan kertas undi ketika mengundi, yang menunjukkan beliau memangkah diri sendiri.
"Saya nasihatkan pemilih keluar mengundi seawal mungkin untuk terus memangkah BN," katanya.
8:15am: SK Kampung Baharu - Ketika
ditemui pemberita, Azlan berkata beliau berpuas hati dengan kempen yang
dilaksanakan dan akan menunggu keputusannya pada petang nanti.
"(Kita) yakin akan menang, apa pun nantilah (keputusannya)," katanya ringkas.
Beliau mengakui sedikit berdebar dan bangun awal untuk bersahur dan bersolat subuh sebelum menuju ke pusat pengundian.
8am: SK Kampung Baharu - Calon PAS Azlan Yusof tiba bersama isterinya di pusat mengundi itu sejak 7.45 pagi.
Beliau disambut oleh sekumpulan penyokongnya yang menunggu lebih awal dengan laungan takbir.
Beliau juga ditemani oleh wakil calon, Hanafiah Mat dan Wan Azhar Wan Ahmad.
Azlan atau lebih dikenali Che Long menjadi orang kedua mememasuki pusat mengundi.
Langit cerah pagi ini. Ramalan cuaca bagaimanapun meramalkan hujan ribut petir mungkin melanda di sebelah petang. - Mkini