24 June 2013

Warga emas disamun, ditetak di kepala

Klang: Seorang lelaki warga emas menerima 11 jahitan di dahi selepas ditetak dan disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan parang yang hanya berjaya melarikan telefon bimbit berharga tidak sampai RM100 di hadapan rumahnya di Jalan Meru, di sini, kelmarin.


Menceritakan semula kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Ng Tham Leong, 65, berkata dia sedang menunggu rakannya untuk pergi minum pagi di sebuah restoran sebelum sebuah kereta Proton Waja dinaiki lima lelaki tiba-tiba muncul di hadapan rumahnya. Menurutnya, tindakan terbabit mengejutkannya sebelum empat daripada lelaki bersenjatakan parang menyerangnya dan cuba merampas dompetnya.

“Ketika suspek mahu merampas dompet, saya nekad melawan sebelum ditolak sehingga terjatuh oleh seorang daripada mereka.
“Dalam keadaan kelam kabut, saya melihat seorang daripada mereka menetak dahi saya menyebabkan dahi berasa panas sebelum mendapati darah mula mengalir,” katanya. Katanya, dalam keadaan lemah, dia kemudian menjerit bagi menarik perhatian jiran menyebabkan kumpulan lelaki itu panik dan hanya sempat merampas telefon bimbit sebelum melarikan diri.

Ng berkata, dia bersyukur kerana jeritan itu didengari jiran yang kemudian memberikan pertolongan sebelum menghantarnya ke sebuah hospital swasta untuk rawatan lanjut.

“Selepas dirawat dan menerima 11 jahitan di dahi kanan, saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Kapar, di sini, untuk tindakan lanjut pihak berkuasa.

“Ini kejadian pertama menimpa dan menyebabkan saya trauma,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Katanya, usaha memburu suspek lingkungan 30-an giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394, Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan. - Hmetro

5 Penyamun ganas itu masih bebas. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa mereka selepas ini.