KUALA LUMPUR - Semua sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
Putrajaya serta Selangor yang diarah tutup hari ini berikutan keadaan
jerebu teruk, akan dibuka semula esok kecuali di Pelabuhan Klang.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Pendidikan) Datuk
Sufaat Tumin berkata semua sekolah itu dibenarkan beroperasi semula esok
apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus menunjukkan perkembangan
positif.
Setakat pukul 5 petang tadi, IPU di Cheras dan Batu Muda, Kuala Lumpur
masing-masing menunjukkan bacaan 168 dan 189 manakala IPU di Putrajaya
merekodkan 156.
"Sekolah di Pelabuhan Klang pula masih diarah tutup apabila mencatat
IPU tahap bahaya iaitu 319," katanya ketika dihubungi Bernama.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100
(sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak
sihat) dan 300 ke atas sebagai berbahaya.
Sufaat berkata semua sekolah yang terlibat dengan penutupan sementara
akibat jerebu itu perlu mengadakan kelas ganti dan ia akan ditentukan
oleh Pengarah Pendidikan Negeri masing-masing. - Bernama