14 June 2013

Penjenayah tak sempat nikmati 'habuan'

SHAH ALAM - Tiga daripada enam penjenayah tidak sempat menikmati ‘habuan’ apabila diberkas sejam selepas menyamun 20 pelanggan sebuah restoran makanan steamboat di Kampung Melayu Subang, Selasa lalu.


Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, kumpulan penjenayah bersenjatakan parang dan rotan itu bertindak menyerbu restoran dan mengugut semua pelanggan untuk menyerahkan wang dan barangan berharga dianggarkan berjumlah kira-kira RM6,350.

Kesemua penjenayah termasuk seorang bawah umur kemudiannya melarikan diri dengan dua buah kereta jenis Proton Persona dan Wira.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan berkata, pemilik restoran kemudiannya membuat laporan berhubung kejadian, sebelum MPV polis berjaya mengesan kedua-dua kereta dinaiki kumpulan penjenayah itu.

Beliau berkata, berlaku kejar-mengejar antara polis dengan kumpulan penjenayah itu sehingga ke Sungai Way, Petaling Jaya.

“Kita berjaya pintas kereta suspek, namun hanya dapat menahan tiga daripada mereka dipercayai anggota yang baru direkrut berusia 16 dan 18 tahun.

“Tiga lagi yang merupakan dalang utama kumpulan tersebut berjaya meloloskan diri,” katanya.

Menurutnya, polis merampas dua buah kereta digunakan suspek, pelbagai barangan yang disamun, beberapa bilah parang, cota, rotan serta topi keledar yang digunakan dalam kejadian bagi menyembunyikan identiti mereka.

“Semakan mendapati dua kereta digunakan adalah kereta yang dilaporkan hilang di Jinjang dan Sunway.

“Mereka  aktif menyamun sejak empat bulan lalu dan setakat ini dikenal pasti terlibat dalam empat kes di Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Cheras,” katanya.

Thaiveegan berkata, dua daripada suspek ditahan berusia 18 tahun bekerja sebagai kelindan dan pencuci kereta, manakala suspek bawah umur tidak bersekolah.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek itu direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dan bersenjata.

Katanya, pihaknya giat memburu tiga suspek yang lolos serta baki tiga lagi ahli kumpulan tersebut. - SH

Tahniah polis.