15 June 2013

Guru besar saman cikgu, media

TELUK INTAN - Seorang guru besar sebuah sekolah rendah di sini memfailkan saman fitnah di Mahkamah Sesyen Teluk Intan terhadap beberapa individu dan organisasi media kerana memfitnah beliau dalam satu laporan akhbar pada 29 September tahun lalu.


Guru besar yang berusia lingkungan 50-an yang enggan dedahkan identiti itu turut menamakan ibu murid, seorang guru penolong kanan dan pengarang berita syarikat media tersebut sebagai defendan.

Writ saman yang difailkannya melalui peguam Amirul Fairuzzeen Jamaluddin jam kira-kira 10 pagi semalam, di sini dengan jumlah kos dan ganti rugi bakal dituntut tidak dinyatakan.

Guru besar berkenaan berkata, berita yang dikeluarkan dalam media  terbabit tertera nama sekolah beliau bertugas , selain penulisan yang mengatakan beliau bernafsu jahat terhadap kanak-kanak tersebut  yang merupakan  satu fitnah dan melampau.

“Berita itu juga mengakibatkan imej saya sebagai seorang pendidik tercalar dan menanggung aib yang besar.

“Bukan itu sahaja, rumah tangga saya juga hampir runtuh akibat laporan yang tidak bertanggungjawab serta tidak berasas itu,” katanya ketika ditemui media, di sini, semalam.

Katanya, tindakan beberapa guru sekolah yang langsung tidak mengenal pasti kesahihan perkara itu dan tidak mengamalkan konsep perbincangan sama ada perkara sebegini berlaku atau sebaliknya juga t menyebabkan beliau turut menyaman beberapa guru sekolah tersebut.

Kata beliau, guru tersebut membuat tuduhan liar dan tidak menyiasat terlebih dahulu kesahihan perkara ini menyebabkan kredibilitinya sebagai pengajar terjejas teruk.

“Justeru  saya terpaksa mempertahankan diri saya agar tiada lagi pihak memandang serong terhadap saya dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, peguam Amirul pula berkata, sebaik laporan polis dibuat ibu pelajar selepas dinasihatkan beberapa guru sekolah berkenaan, anak guamnya  langsung tidak diberi peluang untuk membela diri ataupun menerangkan keadaan sebenar.

Jelasnya, polis yang menjalankan siasatan telah menutup kes itu kerana tiada sebarang asas ataupun bukti yang boleh dikaitkan guru berkenaan dengan kes itu.

"Kira-kira tiga bulan kemudian, anak guamnya menerima surat daripada polis yang mengatakan beliau tidak bersalah ataupun boleh dituduh di mahkamah atas kesalahan itu," katanya.

Amirul berkata, perkara itu membuktikan anak guamnya tidak melakukan sebarang perilaku seperti yang didakwa ibu pelajar dan guru sekolah tersebut.

Katanya, bagi media berkenaan pula, mereka disaman kerana memasukkan nama sekolah tempat guru besar berkenaan bekerja, cerita dalam laporan yang jelas memfitnah anak guamnya serta menghuraikan kononnya guru itu berniat jahat dan bernafsu buas. - SH

berita berkaitan --> http://lagiberita.blogspot.com/2012/09/guru-besar-ditahan-cabul-dua-murid.html