MUTAKHIR ini, PKR semakin kurang ajar dengan Pas.
Sebaik sahaja PR berjaya menawan Selangor dalam PRU13, Ketua Wanitanya
yang menang bertanding di kawasan saya, dengan bongkak berkata kerusi MB
hak PKR. Cerminlah diri dahulu sebelum berkata, berapa kerusi Dun
dimenangi.
PKR juga marah kepada Pas kerana menyebabkan mereka kehilangan kerusi
Dun Kota Damansara dan Semenyih kerana Pas turut bertanding di sana.
Jika tidak, PKR kononnya mendakwa, sudah tentu mereka mendapat dua
tambahan kerusi menjadi 16, berbanding 14 yang diperoleh sekarang.
Ringkasnya, PR kalah di semua tujuh kerusi yang ditandingi sesama
mereka melawan Umno. PKR menyalahkan Pas kerana ‘mengacau’ kerusi
mereka.
PKR tidak membuat muhasabah diri, siapakah pemilik asal kerusi Dun
tersebut. Kalau boleh, semua kerusi mahu ditandingi bersama ultra kiasu,
mengetepikan Pas.
Kadang kala, saya kasihan melihat Pas. Pas terlalu banyak berkorban
untuk orang lain, sampai dirinya sendiri terkorban. Pas kelihatan
seperti melukut di tepi gantang. Sedangkan, majoriti rakyat tidak
sukakan Umno bersama Pas, bukan PKR, kecuali ultra kiasu.
Itupun Pas masih dipersalah oleh parti baru setahun jagung ini yang
menyangka dirinya kuat. Tunggulah pemimpin nombor satunya ‘pencen’, kita
akan lihat bagaimana rakusnya perebutan kuasa nanti.
Muhasabah untuk Pas, semua berlaku ada hikmahnya. Saya hormati
pendirian Pas. Pas tidak mahu bersubahat dengan sosialis sekularis.
Mereka ini menjadi duri dalam daging, menentang agenda Pas tegakkan
negara Islam. Mereka tidak faham, jahil Islam, dan cuba berlagak hebat.
Sebab itu PKR tidak ada majlis ulama, berbanding Pas. Jika adapun ulama
PKR, mereka berada dalam dilema untuk jatuhkan hukum.
Saya memuji Pemuda Pas Selangor yang berani menempelak PKR, kerana
kecabulan mulut pemimpin mereka menghina pemimpin Pas di khalayak ekoran
‘kehilangan’ dua kerusi tersebut.
Menurut Pas, PKR tidak seharusnya membuat kenyataan seumpama itu jika
PKR tidak faham makna tahaluf siyasi. Memang PKR jahil soal selok-belok
Islam. Mereka sanggup melakukan matlamat menghalalkan cara dengan
memberikan laluan kepada calon sosialis sekularis.
Sosialis sekularis sukar memahami istilah ini kerana mereka tidak
pernah terlibat dalam gerakan Islam. Mereka bekas ahli Umno yang kecewa
dan ingin membalas dendam terhadap Umno. Mereka biasa hidup selesa.
Mereka lebih selesa bersama ultra kiasu DAP daripada Pas. Pas mesti
berhati-hati agar tidak diperalatkan dalam usaha tahaluf siyasi.
Untuk makluman pembaca, tahaluf siyasi merupakan konsep atau
perjanjian dua pihak atau lebih untuk menjalin kerjasama menghadapi
lawan, yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya. Kerjasama
ini boleh terjadi dalam beberapa bidang yang dipersetujui, untuk
menghadapi ‘musuh atau lawannya’. Misalnya, kerjasama Pas dengan PKR dan
DAP (walaupun menentang Islam) untuk melawan Umno. Sudah tentu ada ahli
Pas berbelah bahagi dalam isu ini. Umno juga orang Islam dan mahukan
Islam, cuma cara berbeza.
Sebahagian ulama seperti Sheikh Muhammad Qutb dan al-Syeikh al-Imam Abu
Nasr Muhammad bin Abdullah, dengan tegas menolak langsung sebarang
usaha melakukan kerjasama dengan mereka yang menentang Islam. Mereka
hukumkan kerjasama ini haram. Ada juga ulama yang mengharuskan tahaluf
siyasi seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi, Dr Mustoffa al-Tohhan dan
sebagainya.
Justeru, pelaksanaan tahaluf siyasi perlu dibuat secara berhati-hati,
bukan semberono, sebab rakan dalam PR menentang agenda Islam Pas.
Lagipun, Pas adalah parti jauh lebih senior daripada lain. Rata-rata
kerusi dimenangi oleh PKR hari ini adalah milik Pas dahulunya. Pas
serahkan kepada ultra kiasu Melayu atas dasar tahaluf siyasi.
PKR tidak ada apa-apa jika Pas tidak membantu dan menyokong mereka. Pas
berdiri selama ini pun tanpa bantuan PKR, walaupun banyak kali kalah.
Justeru, janganlah PKR terlalu takbur. Pas yang mematangkan PKR.
Sebenarnya, PKR hidup atas belas ehsan Pas.
Sama juga seperti kedudukan MCA. MCA dapat bertahan sehingga ke hari ini kerana sokongan orang Melayu (Umno).
Kesimpulannya, Pas perjuangkan Islam. Sudah tentu lebih baik daripada
PKR. Saya pasti memilih Pas jika bertembung dengan PKR. Memangkah PKR
belum tentu dapat pahala kerana mereka tidak memperjuangkan Islam malah
bersekongkol dengan ultra kiasu berpandu kepada sosialis sekularis. - SH
Seronok ke jadi batu api?