SHAH ALAM – Pelantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution
sebagai pegawai perhubungan politik dalam Pejabat Menteri Besar Selangor
menimbulkan banyak reaksi ingin tahu dalam kalangan ahli akar umbi.
Antara persoalan yang menjadi perhatian, apakah pendirian Menteri
Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung perkara ini memandangkan
selama ini beliau begitu serius dengan isu pembaziran.
Malah mereka mempersoalkan mengapa perlu diwujudkan jawatan politik
tambahan sekiranya fungsinya adalah sama dengan jawatan Setiausaha
Politik Menteri Besar? Apakah ini akan menyebabkan pembaziran wang
rakyat dan perbelanjaan yang tidak berhemah?
Jika kewujudan jawatan ini bertujuan menjalin hubungan politik di
antara pentadbiran negeri dan parti, maka timbul persoalan berikutnya,
iaitu di mana peranan Setiausaha Politik? Apakah kerajaan negeri akan
menghapuskan jawatan Setiausaha Politik?
Adakah Abdul Khalid bersetuju sekiranya Pakatan Rakyat (PR) diberikan
mandat dalam PRU13 baru ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
juga tidak layak dilantik sebagai perdana menteri kerana beliau sibuk
dengan tugas sebagai ketua parti?
Adakah ia bercanggah dengan saranan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu
bahawa orang politik tidak boleh dilantik ke dalam anak syarikat
kerajaan negeri (GLC).
Mungkin pimpinan PKR di peringkat negeri dan Pusat perlu melihat
kembali soalan-soalan di atas yang mula menjadi perhatian umum atau
mungkin perlu dijawab sendiri oleh Abdul Khalid.
Lebih sinis lagi apabila pemimpin PKR Selangor yang memenangi kerusi di
peringkat Parlimen dan Dun tidak diberi tempat sebaliknya pemimpin PKR
dari luar Selangor yang gagal mempertahankan kerusi dibawa masuk dan
diangkat sebagai pegawai politik negeri.
Tidak kurang juga ada menyarankan agar jawatan tersebut diberikan
kepada Adun dan Ahli Parlimen yang berjaya membawa kemenangan kepada PKR
dan mengekalkan kuasanya di Selangor.
Inilah yang disuarakan dan dibangkitkan oleh ahli PKR pelbagai peringkat di Selangor kepada Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali.
Azmin pula ketika dihubungi, dihubungi tidak menafikan perkara itu mula
menjadi bualan ahli parti sejak Anwar mengumumkannya dalam ucapan
penggulungan di Kongres Nasional PKR ke-9 di Petaling Jaya, minggu lalu.
Katanya, kalangan ahli melahirkan rasa kurang senang dengan keputusan
tanpa perbincangan parti malah seolah-olah melupakan pemimpin Selangor
yang berjaya memenangi hati rakyat serta menang dalam PRU13 lalu. - SH
Sudah-sudahlah Azmin. Kadang meluat juga.