13 June 2013

Dua lelaki diburu

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memburu dua lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan berhubung beberapa siri curi kereta mewah di sekitar Lembah Klang.


Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Perundangan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Abdul Aziz Zakaria berkata, kedua-dua individu itu dikenali sebagai Darma Suria Risman Saleh, 32, dan Ng Kai Keong, 40.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kedua-dua individu terbabit boleh tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Kedua-dua individu itu juga dipercayai ada kaitan dengan suspek yang ditahan polis di sebuah rumah di Kuala Perlis, Perlis pada 2 Jun lalu.

Suspek yang dikenali sebagai Mohd Azri Mohd Kassim, 32, itu dipercayai terlibat dalam beberapa kes curi kereta mewah termasuk kereta Audi R8 yang bernilai RM500,000 di pusat pameran di Jalan Tun Razak pada 23 Mei lalu.

Ketika kejadian, suspek itu menyamar sebagai broker kereta yang mahu melihat kereta mewah berkenaan.

Suspek kemudian meminta kunci daripada jurujual dengan memberi alasan mahu melihat keadaan dalam kereta tersebut, sebelum melarikan kenderaan itu.

Abdul Aziz berkata, suspek berkenaan masih ditahan reman sehingga semalam. Polis akan sambung reman suspek tersebut bagi membantu siasatan beberapa siri kes curi kereta mewah.

Sebelum ini, Mohd Azri dipercayai terlibat dengan kes curi sebuah kereta Nissan Fairlady di pusat pameran dan servis kereta di Segambut, 6 Mac lalu.

Kereta mewah bernilai RM400,000 itu dipercayai sebagai sepatutnya dijadikan sebagai hadiah Anugerah Bintang Popular.

Mohd Azri pernah diberkas pada 12 Oktober tahun lalu bagi membantu siasatan kes curi kereta mewah Porsche Panamera, Volkswagen Golf GTI dan Audi, sebelum dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah RM15,000.

Mohd Azri gagal hadir ke mahkamah untuk sebutan semula kes curi Porsche Panamera dan BMW X6.

Berdasarkan siasatan polis, suspek dipercayai mempunyai 13 rekod lampau membabitkan kes curi kenderaan, dadah dan samun sejak 2006. - SH

Tambah lagi rekod kesalahan lampau kepada 14.