Mahkamah Tinggi menetapkan 27 Jan tahun depan untuk mendengar keterangan
Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kes saman beliau
terhadap penulis blog papagomo.com kerana didakwa menyiarkan perkataan
fitnah dan mengaitkan beliau dengan seorang lelaki dalam video seks.
Hakim
Rosilah Yop turut menetapkan 28 Jan untuk mendengar kes saman itu.
Beliau menetapkan tarikh itu hari ini ketika kes berkenaan dikemukakan
untuk pengurusan kes.
Peguam Mohd Afiq Mohd Noor yang mewakili
Anwar memberitahu pemberita anak guamnya (plaintif) akan memanggil empat
saksi manakala Wan Muhammad Azri Wan Deris (defendan) dijangka
memanggil dua saksi.
Pada 21 Mac lepas, Anwar memfailkan saman
fitnah RM100 juta dengan mendakwa Wan Muhammad Azri, pemilik laman blog
www.papagomo.com menyiarkan empat siri perkataan fitnah dalam laman web
itu pada 16, 17, 19 dan 20 Mac lepas.
Dalam pernyataan
tuntutannya Anwar mendakwa defendan turut meletakkan satu pautan web
yang memaparkan siri imej dan defendan telah secara nyata dan/atau
tersirat menyatakan bahawa individu dalam imej itu ialah plaintif.
Anwar
menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos, lain-lain relif
yang difikirkan wajar dan satu injunksi bagi menghalang defendan
daripada terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej itu.
Wan Muhammad Azri dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 20 Mei menafikan bahawa beliau pemilik blog papagomo.com.
Beliau
menegaskan alamat kediaman yang dinyatakan menerusi saman Anwar itu
bukan miliknya dan beliau tidak mengenali plaintif secara peribadi.
Anwar
dalam jawapannya kepada pernyataan pembelaan Wan Muhammad Azri itu
berkata beliau boleh membuktikan bahawa defendan adalah pemilik blog
papagomo.com .
Beliau mendakwa defendan turut melakukan serangan
peribadi terhadap parti pembangkang dan pemimpinnya tanpa membuat
sebarang justifikasi. - Bernama