KUALA LUMPUR: Pengerusi Hindraf P.Waythamoorthy berjanji akan
menyelesaikan masalah dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat India di
negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang.
Waythamoorthy, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri, berkata beliau akan memberi fokus terhadap masalah yang
dihadapi kaum India seperti pekerja ladang yang tidak mendapat
pembelaan, mereka yang tidak mempunyai taraf warganegara, pendidikan
serta peluang perniagaan dan pekerjaan.
Sambil menjelaskan bahawa pelantikan beliau memberi peluang kepadanya
untuk membebaskan masyarakat India daripada pelbagai masalah.
"Mulai sekarang, kami akan bawa suara golongan miskin kepada kerajaan
dan memastikan masyarakat India tidak lagi hidup dengan mengharapkan
belas ihsan, tetapi mendapat hak mereka yang sah." katanya pada sidang
media di sini, Sabtu.
Peguam berusia 47 tahun itu juga membidas pengkritiknya, terutama
pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan laskar maya
mereka dengan berkata: "Kepada semua pengkritik ini, kami ingin berkata,
katalah apa yang kamu mahu. Kami akan buktikan bahawa kamu semua salah
dan membuat kamu menjilat ludah sendiri apabila tiba masanya dan rakyat
akan mengajar kamu pada pilihan raya akan datang."
Waythamoorthy juga menafikan pelantikan beliau sebagai timbalan
menteri adalah susulan kepada memorandum persefahaman (MoU) yang
ditandatangani antara Hindraf dan Barisan Nasional (BN) pada 18 April.
Mengenai pertelagahan antara beliau dan abangnya Uthayakumar,
Waythamoorthy berkata adiknya itu telah dipecat daripada Hindraf dan
oleh itu, tidak lagi berhak untuk mengkritik pergerakan tersebut. - BERNAMA
Sekarang kamu sedang menjilat ludah sendiri.