18 May 2013

Dua termasuk anggota polis cedera ditetak di Labis

LABIS 18 Mei - Dua lelaki termasuk seorang yang dipercayai anggota polis cedera parah selepas diserang sekumpulan lima lelaki bersenjatakan parang di Balai Polis Labis di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 40-an cedera di beberapa bahagian badan selepas diserang kumpulan lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd. Kamil Sukaimi berkata, kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka dan isteri anggota polis tersebut yang menaiki sebuah kereta dipercayai ditahan seorang lelaki ketika memandu di Jalan Labis-Segamat, kira-kira dua kilometer dari Balai Polis Labis.

Beliau berkata, sebaik sahaja mangsa keluar dari kereta, dia ditetak oleh seorang lelaki lain yang datang dari arah belakang.
"Melihat keadaan itu, rakan mangsa yang memandu kereta tersebut bertindak memecut kereta menuju ke Balai Polis Labis untuk mendapatkan perlindungan dan membuat laporan tentang kejadian itu.

"Namun, mereka telah diekori oleh lima lelaki yang menaiki sebuah kereta. Kumpulan itu kemudian bertindak menyerang rakan mangsa yang dipercayai anggota polis sebaik dia keluar dari kenderaan di kawasan balai. Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat ditetak dengan parang," katanya ketika dihubungi hari ini. - UTUSAN

Wahai polis, tolonglah tangkap penjenayah. Hentikan tangkapan orang politik.