Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam sebelum
hari pengundian bahawa Datuk Mukhriz Mahathir akan menjadi Menteri
Besar Kedah jika Barisan Nasional (BN) menawan semula negeri ini dilihat
menjadi faktor penting kepada kejayaan BN merampas semula Kedah.
Ia dikatakan menjadi tarikan kepada pengundi muda, atas pagar dan
pengundi dari luar untuk memberi sokongan kepada BN kerana yakin
terhadap kewibawaan Mukhriz sebagai Menteri Besar yang baharu.
Penganalisis politik, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara
Malaysia (UUM) berkata pengumuman saat akhir Najib itu menjadi 'bomb
issue' yang menarik sokongan pengundi untuk memberikan semula Kedah
kepada BN.
"Orang Kedah sebelum ini tak pasti siapa Menteri
Besar. Apabila diumumkan, orang muda dan belia yang sememangnya
mempunyai keyakinan terhadap Mukhriz beralih sokongan kepada BN untuk
mentadbir semula negeri Kedah," katanya kepada Bernama.
Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa UUM itu berkata ramai yang
mengakui BN membuat pilihan terbaik apabila meletakkan Mukhriz
bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjadi Menteri
Besar jika BN menang.
"Ini merupakan kehendak rakyat, bukan
parti. Jika PAS pun, rakyat hendakkan Menteri Besar yang muda tetapi
nampak seperti orang lama (bekas Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul
Razak) masih mahu kekal," katanya.
Mohd Azizuddin berkata faktor
Najib itu sendiri menjadi isu yang kuat di Kedah di kalangan
orang-orang Melayu, yang melibatkan lebih 75 peratus penduduk di negeri
ini, walaupun tidak begitu menjadi dalam kalangan masyarakat Cina.
"Agenda tranformasi Perdana Menteri diterima baik oleh rakyat walaupun
tak sepenuhnya. Orang Cina juga menerima baik transformasi itu tetapi
masih menolak BN," katanya.
Pada pilihan raya umum semalam, BN menang 22 kerusi DUN berbanding PAS (8), PKR (4) dan DAP (2).
Selain
itu, faktor lain yang menyebabkan BN kembali menjadi pilihan adalah
kerana kegagalan kerajaan negeri sebelum ini yang diterajui PAS dalam
membawa pembangunan yang dijanjikan sebelum ini selain perbalahan sesama
sendiri pemimpin parti yang membentuk kerajaan negeri sebelum ini.
"Kerajaan negeri banyak kelemahan. Rakyat bosan dengan masalah dalam parti pembangkang dan PAS tak perform, maka mereka beralih semula kepada BN. Mereka lebih tertarik kepada BN.
"PAS asyik bergaduh selepas memerintah negeri ini. Ekonomi tak bagus,
pembangunan tak ada. Pelaburan menurun. BN pula dilihat cuba bawa
pelaburan dan pembangunan," katanya.
Gandingan pemimpin lama dan
baharu iaitu Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai Pengerusi Badan
Perhubungan Umno dan Pengerusi BN negeri dan Mukhriz sebagai Timbalannya
sejak Januari 2011 turut membantu memperbaiki prestasi BN di Kedah.
Walaupun Mukhriz yang menjadi Menteri Besar tetapi peranan Ahmad
Bashah, yang mempertahankan kerusi DUN Bakar Bata pada PRU kali ini,
dalam membolehkan BN menang kembali di Kedah tidak boleh dipertikaikan.
Selepas BN dan Umno kalah teruk pada PRU 2008, Umno Kedah menjadi lesu
sehinggakan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah
diberikan kepada orang luar, Naib Presiden Umno Datuk Mohd Shafie Apdal,
yang berasal dari Sabah.
Selepas Bashah dilantik memegang
kedua-dua jawatan itu pada awal tahun 2011, dan dibantu oleh Mukhriz,
Umno Kedah berubah sama sekali dan kemuncaknya semalam apabila kembali
menawan Kedah. - Bernama