Dakwaan dakwat kekal yang dicalit pada jari seorang pengundi awal mudah
hilang dengan membasuh jarinya mungkin disebabkan kegagalan sebahagian
petugas Suruhanjaya Pilihan Raya mematuhi cara penggunaan dakwat itu.
Setiausaha
SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata ekoran dakwaan itu, SPR
membuat beberapa ujian semalam dan hasilnya jari mereka yang telah
dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya digoncang lebih kekal dakwat
itu di jari mereka dibandingkan dengan botol yang tidak digoncang.
"Walau
apa pun kesan dakwat kekal itu, SPR ingin menegaskan bahawa setiap
pengundi awal yang telah selesai mengundi pada 30 April 2013 tidak boleh
mengundi sekali lagi pada hari pengundian biasa kerana nama mereka
tidak wujud dalam daftar pemilih pilihan raya bagi pengundi biasa yang
akan mengundi pada 5 Mei 2013," katanya dalam satu kenyataan yang
dikeluarkan tengah malam tadi.
Oleh itu, SPR akan meneruskan
penggunaan dakwat kekal pada 5 Mei 2013 selaras dengan kehendak
undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Beliau berkata SPR telah
menerima maklumat berlaku penyebaran gambar melalui laman sosial
mengenai pendedahan oleh seorang pengundi awal bahawa dakwat kekal yang
dicalit pada jarinya mudah hilang dengan membasuh jarinya. - Bernama
Tak mengapalah. Kan ini yang pertama kali. Tentu banyak kelemahan. Tak wajar ada yang kata elok goncang kepala otak dia. Walaupun ia melucukan.