11 May 2013

Saya PM semua kaum: Najib

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berjanji akan menjadi Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan ideologi politik.

Janji saya kepada anda hari ini adalah untuk menjadi Perdana Menteri bagi seluruh rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa, mahu pun ideologi politik anda. Cinta saya terhadap negara kita tidak mampu saya jelaskan dengan kata-kata dan saya amat bangga serta bersyukur dengan pencapaian Malaysia sehingga kini.

Saya percaya jika kita bekerjasama sebagai satu bangsa negara, insya-Allah kejayaan yang lebih besar akan berada dalam genggaman kita, katanya melalui entri terbaru bertajuk Terima Kasih Malaysia dalam blog peribadi beliau, www.1malaysia.com.my, semalam.



Beliau juga berjanji kerajaan Barisan Nasional (BN) akan berusaha bersungguh-sungguh menolak fahaman ekstrem dan perkauman yang tidak memanfaatkan negara, selain meneruskan usaha meningkatkan amalan konsep kesederhanaan atau wasatiyyah dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

Sambil menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) paling sengit dalam sejarah negara, beliau berkata, sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini, banyak pandangan dan hujah berbeza ditawarkan kepada rakyat.

Kembalikan keharmonian

Ada yang menyemarakkan semangat, tetapi ada juga yang menimbulkan kemarahan dan prasangka. Kini tempoh pilihan raya telah berakhir, tibalah masanya untuk kita kembali ke arah kedamaian dan keharmonian demi Malaysia yang dicintai, katanya.
Najib turut menyifatkan pencapaian paling bererti tercatat awal pagi Isnin lalu, apabila beliau diberi mandat oleh rakyat untuk menyempurnakan semua perancangan dan pelaksanaan yang dimulakannya sejak empat tahun lalu.

Kita baru saja menempuh proses demokrasi yang terbesar dan paling mencabar di negara kita. Di setiap kampung, pekan dan bandar, setiap rakyat telah berdebat, berkempen serta mengundi untuk masa depan negara.

Saya amat berterima kasih dengan segala usaha semua pihak yang selama ini berusaha gigih serta berdiri teguh di samping saya dan parti.

Dengan penuh tawaduk, saya juga mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada kepemimpinan BN untuk terus mentadbir negara, katanya.

Berkhidmat sebagai penjawat awam hampir sepanjang pengalaman kerjayanya selama ini, Najib berkata, beliau masih mengingati kali pertama dipilih menjadi Ahli Parlimen, kali pertama berucap di Parlimen dan kali pertama menjalankan tanggungjawab ketua jabatan kerajaan, sehingga menjadi Perdana Menteri sejak empat tahun lalu. - Utusan

Kata PM untuk semua. Bagaimana harus dipercayai jika negeri yg sokong politik dia dapat royalti minyak tetapi tidak bagi negeri yang tolak Umno-BN.