08 May 2013

Penganalisis: Suara PR dijangka lebih kuat di Parlimen

SHAH ALAM - Penganalisis berpendapat keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) membuka laluan besar kepada Pakatan Rakyat (PR) di Parlimen, sekali gus tidak akan membolehkan Barisan Nasional (BN) yang kekal menerajui kerajaan pusat 'senyum lebar' dengan kejayaan itu.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, PR telah terus berjaya memecahkan 'keselesaan' BN dan bakal memeriahkan Dewan Rakyat.

"Politik akan menjadi lebih meriah. Walaupun kali ini BN menang namun telah kurang lagi banyak kerusi berbanding 2008 menjadikan BN sekarang ini lagi lemah di mana suara PR lebih kuat di Parlimen.

"PR telah menang bergaya di Selangor dan Pulau Pinang dengan dua per tiga majoriti, ini menunjukkan PR semakin kuat," katanya kepada Sinar Harian Online.


Menurutnya, kejayaan yang ditunjukkan calon PR dalam merampas kuasa di kawasan-kawasan bandar khususnya menunjukkan kepercayaan rakyat kepada parti perikatan tersebut.

Beliau berkata, walaupun  keputusan pilihan raya menunjukkan prestasi Pas dan PKR sedikit susut berbanding DAP,  namun strategi meletakkan calon kedua-dua parti tersebut sedikit sebanyak berjaya menggugat kedudukan undi kaum Melayu serta India daripada BN.

Keputusan rasmi PRU13 menyaksikan BN berjaya membentuk semula kerajaan baru dengan memenangi 133 kerusi Parlimen berbanding sebanyak 140 kerusi lima tahun lalu. PR berjaya menambah sehingga 89 kerusi Parlimen berbanding 80 kerusi pada 2008.

Jumlah peningkatan yang ditunjukkan PR telah disumbangkan oleh DAP meningkat sebanyak 10 kerusi Parlimen menjadikan 38 kerusi berbanding lima tahun lalu yang mencatat 28 kerusi.

Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Shamsul Adabi Mamat berpendapat walaupun PR berjaya mengurangkan majoriti undi terutama di kawasan bandar namun isu perbalahan di antara parti dalam perikatan masih tidak dapat diselesaikan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi pemimpin tertinggi PKR juga tidak berjaya mengatasi DAP.

Justeru, dari segi kemenangan yang diperolehi parti oleh DAP, pemegang gelaran ketua pembangkang boleh diserahkan kepada pemimpin tertinggi parti tindakan demokrasi tersebut.

"Sistem politik akan tetap menghadapi suasana seperti tahun 2008 hingga 2012, di mana pembangkang akan terus membangkang dan menimbulkan provokasi mengenai isu-isu negara.

"Kalau ikut dari segi kemenangan calon DAP, mungkin ketua pembangkang akan bertukar kepada pemimpin DAP, tapi terpulang kepada rundingan mereka sendiri dan walaupun BN mencatat penurunan sedikit tetapi satu negeri PR telah diambil semula," katanya. - SH