12 May 2013

Pembantu kedai maut terkena 10 das tembakan

KULIM - Seorang pembantu kedai barang-barang lusuh ditemui mati dalam kereta yang dipandunya dengan 10 kesan tembakan, di persimpangan lampu isyarat Taman Kucai di Lunas malam tadi.
 
Mangsa yang dikenali sebagai K.Thangaraja, 31, dari Taman Perak di sini dikatakan sedang memandu bersendirian ke arah lebuh raya Butterworth-Kulim, sebelum diserang pada pukul 8.43 malam.
  
"Dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal dipercayai bersenjatakan pistol mendekati kereta Perodua Alza yang disewa mangsa, yang sedang berhenti di persimpangan tersebut. Suspek kemudiannya melepaskan l0 das tembakan ke arah mangsa.
  
"Beberapa das tembakan mengenai muka dan lengan mangsa. Mangsa meninggal di tempat kejadian," kata Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ghuzlan Salleh ketika di hubungi hari ini.
  

Beliau berkata pihak polis menjumpai 10 kelongsong peluru berukuran 9 mm di dalam kereta dan kawasan kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, katanya.
  
Mangsa dipercayai berasal dari Pulau Pinang dan dipercayai baharu berpindah di taman tersebut.  - Bernama