BATU PAHAT - Seorang lelaki mengaku tidak bersalah dan memberi pelbagai
alasan kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) Daerah Batu Pahat bagi
mengelak ditahan selepas didapati berkhalwat bersama pasangannya,
semalam.
Lelaki tersebut bersama pasangannya ditahan di sebuah kediaman teres
dua tingkat yang diubahsuai menjadi rumah tumpangan di bandar ini,
dalam operasi cegah maksiat yang dijalankan.
Lebih memeranjatkan lelaki terbabit turut menjerkah anggota operasi
dengan mengatakan bahawa wanita tersebut adalah miliknya dan tiada
siapa boleh menghalang hubungan mereka.
Timbalan Penguatkuasa JAIJ Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah
berkata, pasangan berkenaan pada mulanya enggan memberi kerjasama dan
membuka pintu ketika serbuan dilakukan.
Menurutnya, anggota operasi mengambil masa selama beberapa minit bagi
‘memujuk’ pasangan terbabit untuk membuka pintu, namun usaha dilakukan
tidak berhasil.
“Pasangan ini hanya memberi kerjasama dengan membuka pintu apabila
anggota operasi menyatakan mahu memecahkan pintu rumah tumpangan itu.
Kami mendapati mereka berdua-duaan dalam bilik tertutup dalam keadaan
mencurigakan.
“Lelaki terbabit yang membuka pintu memberikan pelbagai alasan agar
mereka tidak didakwa, manakala pasangannya berada dalam keadaan
ketakutan kerana statusnya masih lagi isteri orang.
“Antara alasan yang diberikan pasangan berkenaan, mereka saling
mencintai, namun status menghalang hubungan mereka. Mereka turut
memberitahu kini dalam proses perceraian dengan pasangan masing-masing,”
katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Saiful Ariffin berkata, siasatan awal mendapati pasangan terbabit sudah
lama mendiami rumah tumpangan berkenaan berdasarkan barangan milik
mereka di dalam bilik yang diserbu.
Tegasnya, pasangan terbabit tetap didakwa kerana tiada ikatan
perkahwinan sah selain berada dalam keadaan mencurigakan meskipun
memberi pelbagai alasan.
“Pasangan berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat
bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut dan
sebagai pengajaran kepada mereka.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah
Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal
berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya
sekali,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan maksiat
atau berada dalam keadaan mencurigakan bagi mengelak ditahan pihak
berkuasa. - SH