Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.
Berikutan
keputusan penting itu, mahkamah membatalkan saman sivil yang difailkan
oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100
kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang pada
pilihan raya umum 2008.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd
Hishamudin Mohd Yunus yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abd Rahim
dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan rayuan kerajaan Selangor
dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim supaya mengetepikan keengganan
Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman tersebut.
Hishamudin
bersetuju dengan hujahan yang dikemukakan oleh peguam A Vishnu Kumar,
yang mewakili kerajaan Selangor dan Khalid, bahawa manifesto itu bukan
sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang.
Vishnu telah
mengemukakan bahawa seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan
memenuhi janji pilihan raya tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan
manifesto tersebut.
Beliau berkata remedi mereka merupakan
bersifat politik dengan memetik kes mahkamah di England termasuk
keputusan hakim terkenal, Lord Denning, yang memutuskan remedi pengundi
untuk tidak memenuhi janji pilihan raya terletak di peti undi.
Hishamudin
juga menerima hujah Vishnu bahawa pihak responden yang diketuai
pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman Saman, tidak
boleh mencabar perkara itu berikutan saman sivil itu telah difailkan di
luar tempoh masa.
Peguam itu memberitahu mahkamah bahawa pihak
responden sepatutnya memfailkan saman tersebut dalam tempoh tiga tahun
mulai Mac 2008 tetapi hanya melakukannya pada 23 November tahun lepas.
Mahkamah kemudian memerintahkan responden membayar kos guaman sebanyak RM1,000 kepada kerajaan Selangor dan Khalid.
Peguam
Walter Pereira, yang mewakili pihak responden, berkata janji-janji
dalam manifesto itu diterjemahkan sebagai satu bentuk kontrak.
Kumpulan
ibu tunggal itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun
lepas dengan menuntut elaun berjumlah RM10.9 juta seperti dijanjikan
kepada mereka oleh pakatan pembangkang dalam manifesto pilihan raya umum
2008.
Pada 12 Disember 2011, kerajaan Selangor dan Khalid
memfaikan permohonan untuk membatalkan saman tersebut dan pada 23
Januari lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu dan memutuskan kes
itu dibicarakan. -Bernama
Siapa yang tipu kamu sekarang.