MARANG - Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali berkata beliau bersedia
melafazkan sumpah laknat berhubung video seks yang dikaitkan dengannya,
jika isu itu menjejaskan parti itu.
Mustafa berkata beliau meminta pandangan dua pemimpin tertinggi Pas
iaitu Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan presiden parti
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, katanya mereka memaklumkan bahawa beliau tidak perlu berbuat demikian.
"Jadi, sebab itu, walaupun macam-macam surat khabar sebut, saya tak
kisah, tak gugur pun bulu roma saya, apa yang disebut surat khabar dan
blog, saya masih boleh melaksanakan (tugas) dan tak jejas apa-apa.
"Ini adalah pandangan yang diberikan oleh autoriti dalam Pas, tak ada
pandangan yang lebih tinggi selain Mursyidul Am dan Presiden yang
mengatakan demikian," katanya dalam satu ucapan di Rusila malam tadi.
Dalam ucapan itu, Mustafa turut menafikan beliau adalah individu dalam video seks berkenaan.
"Saya tetap dengan pendirian saya, penyebaran video itu adalah kerja
Umno, saya ada bukti tetapi tidak boleh kemukakannya sekarang, kita akan
bertemu di mahkamah," katanya. - Bernama