KUALA LUMPUR, 11 Mei — Timbalan Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk
Husam Musa tidak terkilan kerana tidak dilantik sebagai Exco Kerajaan
Negeri tetapi menegaskan akan memperbetulkan jika kerajaan negeri
pimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakcob lari dari landasan Islam dan
melakukan aktiviti ‘duniawi’ seperti ‘mengaut balak’.
Husam baru-baru ini tidak dilantik semula sebagai Exco kerajaan
negeri selepas bekas menteri besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
menyerahkan kepimpinan negeri kepada Ahmad yang sebelum ini merupakan
timbalan menteri besar.
“Tetapi kalau kerajaan ini bersifat duniawi yang nak mengaut balak,
lombong, Nauzubillah… Ampunkan saya kalau saya berdiri di dalam dewan
untuk memperbetulkan kerajaan,” kata Naib Presiden PAS itu dipetik dari
Sinar Harian Online.
“Saya masuk dalam perjuangan ini bukan main-main.
Saya masuk ini untuk melihatkan apa yang kita usrahkan Islam yang
syumul, Islam yang komprehensif, yang menjaga khazanah negeri dan negara
supaya miskin dan yatim piatu, mereka itu dibela dan Islam menjadi
model. Ini cita-cita saya,” tambah beliau lagi.
Husam yang naik dalam politik bermula
dengan menjadi “orang belakang” Nik Aziz ditamatkan kariernya dalam
kerajaan negeri Kelantan sebaik sahaja bekas menteri besar bersara dari
memimpin negeri.
Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS itu sekali lagi berjaya memimpin
parti Islam tersebut untuk menang dalam Pilihan Raya 2013 menyaksikan
Pakatan Rakyat (PR) berjaya mendapat 32 daripada 45 kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN), sekaligus mempertahankan negeri yang diperintah
semenjak 1990.
Pada PRU13 PAS menguasai 32 kerusi DUN berbanding Barisan Nasional (BN) yang menang di 12 kerusi manakala PKR satu kerusi.
Ahmad, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS I Kelantan, menang kerusi
DUN Pasir Pekan dengan mengalahkan calon BN Nik Noriza Nik Salleh dengan
majoriti 5,644 undi.
Husam tewas di kerusi Parlimen Putrajaya di tangan Datuk Seri Tengku
Adnan Tengku Mansor akan tetapi berjaya mengekalkan kerusi DUN Salor.
Selain Husam, pemimpin-pemimpin kanan PAS yang turut kalah dalam
PRU13 adalah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahuddin
Ayub dan Ahli Jawatankuasa Pusat Dr Dzulkefly Ahmad. - TMI
Apa yang kau merepek ni Husam? Orang hebat ni tak suka tunjuk-tunjuk kat orang kehebatan dan kebaiakan dia. Buat kerja sahaja.