Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, kegiatan suspek disedari sejurus pemilik bersama keluarganya tiba ke rumah kira-kira jam 10 malam.
Menurutnya, mangsa yang juga seorang pensyarah berusia 60 tahun, terkejut apabila terdengar sesuatu di belakang rumah sebelum melakukan pemeriksaan dan terserempak dua lelaki tidak dikenali sedang memanjat pagar belakang kediamannya dipercayai cuba melarikan diri.
“Jeritan mangsa didengari beberapa jiran yang kemudiannya bertindak pantas mengejar suspek yang cuba meloloskan melalui lorong belakang.
"Dua suspek itu berjaya dipintas dan terjadi pergelutan sebelum berjaya ditahan untuk diserahkan kepada polis," katanya.
Beliau berkata, barangan seperti jam tangan dan komputer riba milik mangsa yang dilarikan ditemui semula dalam longkang berhampiran.
Jelasnya, siasatan lanjut mendapati suspek warga Myanmar berusia 39 dan 29 tahun terbabit mengumpil pintu belakang untuk masuk ke rumah mangsa.
“Suspek hanya sempat menggeledah beberapa bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu berdasarkan kepada keadaan barangan yang berselerak.
"Suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah," katanya. - SH
Kejiranan yang wajar dipuji.