SHAH ALAM - Kejayaan Pas menambah penguasaan kerusi dewan undangan
negeri (DUN) Selangor daripada lapan kepada 15 pada pilihan raya umum
ke-13 semalam, membuktikan peningkatan pengaruh mereka di negeri itu
berbanding dua sekutunya.
Perkembangan itu juga membuka peluang kepada Pas untuk mengetuai
kerajaan negeri Selangor yang pada penggal lalu diteraju PKR. Berbanding
Pas, PKR kali ini hanya menambah satu kerusi kepada 14, sementara DAP
pula menang 15 berbanding 13 kerusi pada 2008.
Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata
pakatan DAP-PKR-Pas di Selangor harus memberi peluang kepada Pas
meneraju kerajaan negeri itu kali ini.
"PKR dah ada peluang lima tahun lepas, bagilah peluang kepada Pas. PKR
kena berjiwa besar," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.
Hasan yang pernah menjadi Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu,
Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Selangor sebelum dipecat
daripada PAS pada Januari 2012, turut menggesa pakatan itu berpegang
kepada semangat setiakawan.
Beliau merujuk kepada desas-desus jawatan menteri besar itu diintai
oleh Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan bekas Menteri Besar Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Hasan turut menyenaraikan nama-nama anggota dewan undangan negeri
(Adun) Pas yang layak mengisi jawatan itu, antaranya Adun Sabak,
Sallehen Mukhyi; Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Adun
Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa
Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan.
Sallehen, 46, ialah pendakwah bebas dan juga Timbalan Pesuruhjaya II
Pas Selangor manakala Mohd Khairuddin, 42, merupakan Setiausaha
Perhubungan Pas Selangor, dan Dr Ahmad Yunus, 48, ialah Yang Dipertua
Pas Kuala Langat.
Abdul Khalid pada sidang akhbar di sini hari ini memberitahu calon
Menteri Besar Selangor akan ditentukan oleh pucuk pimpinan pakatan dalam
masa seminggu ini.
"Soal pentingnya bakal calon MB (menteri besar) mesti diterima dan
diperkenan Sultan Selangor (Sultan Sharafuddin Idris Shah)," katanya. -
Bernama
Kesian tengok orang tua ni. Wei Pak Ali, kau bukan orang PAS lagi. Bawalah mengucap.