Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru kepada penyokongnya
untuk hadir ke Stadium Kelana Jaya Rabu ini bagi menyatakan bantahan ke
atas penipuan yang didakwa dilakukan dalam raya 5 Mei.
"Saya akan
menjemput rakyat buat pertama kali selepas pilihan raya umum pada Rabu
ini di Stadium Kelana Jaya pada jam 8.30 malam. Saya menyeru semua
rakyat Malaysia untuk bersama dan nyatakan penolakan kita terhadap
penipuan dalam pilihan raya yang dilakukan SPR dan Datuk Seri Najib
Razak.
"Gerakan untuk perubahan tidak boleh dihalang. Permintaan
rakyat untuk memiliki pilihan raya yang bersih dan adil bagi memastikan
kerajaan yang kita pilih bertanggungjawab, telus dan tiada rasuah akan
terus bergema kuat di sebalik keputusan Pilihan Raya Umum ke-13,"
katanya dalam satu kenyataan.
Anwar berkata, beliau juga akan
bekerjasama dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) bagi
memastikan sebuah SPR yang baru dan bebas ditubuhkan bagi menangani
penipuan dalam pilihan raya.
Katanya, beliau juga akan berusaha bagi mendapatkan sokongan rakyat untuk mempersoalkan kesahan kerajaan yang dibentuk oleh BN.
"Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab kerana bersubahat dalam penipuan
pilihan raya yang paling buruk dalam sejarah kita. Perjuangan untuk
pilihan raya yang bersih dan adil kekal sebagai satu perjuangan yang
penting bagi mana-mana rakyat Malaysia.
"Saya akan memberi
sepenuh masa dan tenaga saya bersama BERSIH dan rakyat Malaysia untuk
memastikan bSPR yang baru dan bebas ditubuhkan secepat mungkin untuk
membetulkan penipuan pilihan raya.
"Kita tidak boleh membenarkan
diri kita menerima keputusan pilihan raya melalui penipuan dan menipu.
Hati saya akan bersama dengan setiap rakyat Malaysia yang tidak menerima
keputusan ini. Saya akan berusaha ke arah konsensus kebangsaan untuk
mempersoalkan kesahihan kerajaan BN yang dicapai melalui penipuan
pilihan raya itu," katanya lagi. - Malaysiakini
Bunyi seperti istihar perang terhadap SPR. Tapi asasnya ada.