PETALING JAYA, 10 Mei — Timbalan Presiden PKR Azmin Ali menafikan
mempunyai hasrat untuk menjadi menteri besar Selangor, sebaliknya
membidas proses perlantikan jawatan tersebut tanpa merujuk kepimpinan
negeri terlebih dahulu.
Azmin
berkata keputusan yang dibuat oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail tidak dibuat secara konsensus, malah kepimpinan negeri
sendiri tidak mengetahui tentang nama yang dicadangkan kepada Sultan
Selangor yang dihantar semalam.
“Kepimpinan negeri Pakatan Rakyat Selangor yang terdiri daripada Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen (MP) sendiri tidak tahu
nama yang dihantar kepada baginda Sultan,” kata Azmin dalam sidang media
di ibu pejabat PKR di sini.
“Isu di sini ialah keputusan yang dibuat oleh presiden parti tidak
mengikut proses yang sepatutnya menerusi konsesus daripada semua ADUN
dan MP di Selangor.”
Surat perlantikan tersebut yang dihantar kepada Sultan Selangor dikatakan telah ditandatangani oleh Dr Wan Azizah.
Azmin juga menafikan khabar angin mengatakan beliau kemaruk kuasa
untuk menjawat jawatan tersebut, sebaliknya berkata jika beliau
mempunyai cita-cita tersebut sudah pasti telah menerima tawaran pada
2008 daripada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya
menggantikan Tan Sri Abdul Khalid.
“Kalau betul lah saya kemaruk kuasa, sejak 2008 lagi saya sudah jadi
menteri besar,” terang Azmin lagi. “Selepas pilihan raya kecil di
Permatang Pauh pada 2008, Datuk Seri Anwar berkata kepada saya supaya
bersiap-sedia untuk menjadi MB tetapi saya tolak demi keharmonian
parti.”
Azmin kata dua hari lepas, pada mesyuarat tergempar kepimpinan
negeri, mereka telah hantar surat semalam kepada presiden. Tetapi beliau
enggan mendedahkan nama yang dicadangkan dalam mesyuarat tergempar itu.
Pertikaian tentang siapa yang mengisi jawatan penting di negeri
terkaya tersebut bukan suatu isu, tegas Azmin yang pada masa sama
membidas proses tersebut tidak telus dan mencemarkan imej parti
reformasi.
“Saya ingin ingin tegaskan, isunya bukan Azmin dipilih sebagai MB.
Saya dan rakan-rakan tidak mahu amalan nepotisma dalam Keadilan kerana
ia adalah sebuah parti reformasi,” tambahnya. “Keadilan bukan milik
individu atau keluarga, tapi milik rakyat.”
Kemelut jawatan menteri besar Selangor sehingga kini masih belum
selesai, walaubagaimanapun dua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) telah
menyatakan secara terbuka menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk
dilantik semula untuk penggal kedua kali ini.
“PAS dan DAP mahu Tan Sri Khalid jadi MB, itu hak dan pandangan
mereka. Tapi ia mestilah menerusi proses yang telus,” kata Azmin
mengulas tentang kenyataan kedua-dua rakan komponen PR tersebut.
Selepas PRU13, PR berjaya berjaya membentuk kerajaan apabila menang
selesa di Selangor memenangi 44 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri
(DUN) Selangor manakala BN hanya memenangi 12 kerusi DUN.
Daripada 44 kerusi tersebut, PAS dan DAP masing-masing berjaya menang sebanyak 15 kerusi, sementara PKR 14 kerusi. - TMI
Mulut kata tidak. Amalan menunjukkan kemaruk kuasa.