03 May 2013

6 Mei Cuti Umum Jika Pakatan Berjaya Bentuk Kerajaan Pusat - Anwar

KAMPAR: Pakatan Rakyat akan mengisytiharkan sehari selepas hari pengundian, iaitu 6 Mei sebagai cuti umum sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan Pusat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara tersebut akan diumumkan sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei ini.

"Sehari selepas itu, pada 7 Mei pula, kita akan menurunkan harga petrol," katanya kepada mereka yang mendengar ceramah di luar pejabat PKR di Malim Nawar pada Khamis.
Mengenai janji Pakatan Rakyat untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula, Anwar berkata semua pinjaman akan dihapuskan sebelum penghujung bulan.

"Pada bulan ini juga kita akan memberikan bantuan kepada semua sekolah, termasuk sekolah kebangsaan, Cina dan Tamil.
"Pada masa yang sama, kita akan mendukung kepentingan Bahasa Melayu. Kita tidak akan tunggu sampai dekat pilihan raya baru hendak memberikan bantuan," katanya.

Anwar turut menjawab dengan nada acuh tak acuh mengenai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa mengajak rakyat Johor 'menguburkan' karier politiknya dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang di negeri itu.
"Dr Mahathir, anda sudah 87 tahun. Jangan fikir mahu kuburkan orang lain. Fikirkan kubur anda sendiri," katanya.

Anwar mendakwa Dr Mahathir sendiri pernah meminta agar kerakyatan Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga dilucutkan kerana dia berbangsa India.
"Kita tidak boleh mempertikaikan hak orang Cina dan India. Komuniti India di negara ini adalah kecil namun ia tidak bermakna kita boleh ketepikan mereka," katanya.

Dalam ceramahnya, Anwar turut memperkenalkan calon Pakatan Rakyat bagi kawasan Kampar.
Calon Parlimen Kampar diwakili oleh Dr Ko Chung Sen, calon DUN Keranji, Chen Fook Chye, Malim Nawar diwakili oleh Leong Cheok Keng sementara Tualang Sekah diwakili oleh Baldip Singh. - Mstar

Umno-BN lembab nak umum cuti sehingga menyusahkan rakyat yang mengundi jauh.