Parti pembangkang hanya pandai memainkan isu perkauman dan isu agama
untuk menarik sokongan rakyat dan bertahan sekian lama dalam arena
politik di negara ini dengan ideologi itu, kata Datuk Zulkifli Noordin.
Calon
Barisan Nasional BN bagi kerusi Parlimen Shah Alam itu berkata
sepanjang beliau bersama pembangkang dahulu, beliau telah dibutakan
tentang kepentingan keharmonian kaum di negara ini dan disemaikan dengan
fahaman sempit politik perkauman dan bersifat pelampau.
"Bukan
setakat antara kaum, saya dahulu diajar membenci kaum sendiri. Bila
bersama BN saya diajar politik keharmonian dan kasih sayang, kepentingan
kepelbagaian kaum dan agama ini bersatu di bawah satu panji-panji bagi
membangunkan Malaysia demi masa depan rakyat.
"BN yang telah
membuka mata saya bahawa penyatuan antara kaum dan berbilang agama itu
adalah sesuatu yang boleh dilakukan, ia bukan angan-angan," katanya
kepada pemberita di Shah Alam malam tadi.
Beliau berkata demikian
selepas majlis makan malam bersama badan bukan kerajaan India dan
masyarakat India Shah Alam yang dihadiri kira-kira 100 orang.
Turut
hadir calon BN bagi DUN Batu Tiga, Datuk Ahmad Nawawi M Zin dan
penasihat Persatuan Kebajikan Modal Insan Selangor, S K Subramaniam.
Sebelum
ini Zulkifli yang juga Naib Presiden Perkasa dipalit kontroversi
apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyiarkan ceramah beliau
yang mempersenda agama Hindu ketika dalam pembangkang kira-kira lapan
tahun lepas namun beliau telah meminta maaf secara terbuka kepada
masyarakat India.
Beliau berkata kontroversi yang melanda dirinya
itu merupakan contoh jelas bagaimana pembangkang memainkan isu
perkauman dan perbezaan agama untuk meraih sokongan politik untuk
kepentingan diri.
"Mereka (pembangkang) tak cermin diri sendiri,
ketika pencalonan tempoh hari pencadang dan penyokong saya terdiri
daripada orang Cina dan India masing-masing daripada MCA dan MIC, begitu
juga dengan Datuk Ahmad Nawawi. Tetapi mereka (calon, penyokong dan
pencadang di Shah Alam) daripada satu kaum sahaja.
"Kita yang
berbilang latar belakang memang kadang kala ada perselisihan faham,
namun BN mengajar saya cara menyelesaikan masalah itu secara
perbincangan dan penerangan serta meminta maaf dengan ikhlas hati. Ini
sesuatu yang pembangkang tidak ajar saya," katanya.
Sementara
itu, Subramaniam menyatakan keyakinan bahawa Zulkifli adalah calon
terbaik bagi mewakili ketiga-tiga kaum utama di Shah Alam dan menegaskan
bahawa kontroversi yang melanda Zulkifli itu adalah perkara lepas yang
tidak sepatutnya diungkit kembali.
"Kami masyarakat India dan
dalam agama kami diajar memaafkan mereka yang benar-benar ikhlas meminta
maaf kepada kami dan insaf apa yang dia lakukan. Ini juga yang
membuatkan kita rakyat Malaysia mampu hidup harmoni sejak lama dahulu,"
katanya. - Bernama
Orang Shah Alam wajib tolak Zul lidah bercabang ini.