26 April 2013

Zahrain rela tak bertanding


PAYA JARAS – Demi memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN), penyandang Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim lebih rela tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya, ia memberikan kelebihan dan peluang kepada beliau menjelajah ke seluruh negara dalam usaha membantu BN mencapai kemenangan yang lebih baik sekali gus mengembalikan kuasa BN di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat (PR).

Selain membantu kempen PRU13 untuk BN, beliau juga akan mendedahkan siapa sebenarnya Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang suatu ketika dahulu begitu rapat dengannya.
“Saya akui saya silap kerana berada di sebelah sana kerana saya terlalu percaya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya berpegang kepada prinsip perjuangan sebab itu saya terlalu percaya pada dia.
“Tapi kali ini, saya tidak akan buat silap lagi dan lebih penting saya mahu rakyat tidak melakukan kesilapan besar seperti 2008 lagi. Kali ini saya terpaksa cari jalan turun padang bantu rakyat agar tidak buat silap,” katanya dalam ceramah kempen PRU13 Dun Paya Jaras di sini.

Hadir sama, calon BN Parlimen Subang, A Prakash Rao dan calon Dun Paya Jaras, Datuk Ir Muhammad Bushro Mat Johor yang juga penganjur.
Zahrain berkata, beliau dan seluruh ahli BN bertanggungjawab membawa rakyat kembali kepada BN terutamanya orang Melayu yang berada dalam Pas dan PKR agar mereka tidak berterusan diperdaya oleh PR.
Bagaimanapun katanya, usaha memujuk mereka kembali kepada BN perlu dengan kaedah yang betul, tawaduk dan bukan berlagak sombong.
“Saya keluar PKR kerana tidak mahu sejarah menghina saya, saya tidak mahu sejarah hukum saya, oleh sebab itu saya tidak sanggup bersekongkol dengan ‘gerombolan’ yang akan merosakkan bangsa dan agama saya.

“Saya tahu ramai sokong BN tetapi sokong sahaja tidak cukup, semua kena beritahu penyokong di sebelah sana terutama yang sebangsa dan seagama dengan kita, tunjuk mereka jalan yang benar,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Bushro berkata, rakyat perlu memberikan kemenangan kepada BN, bukan sahaja di Selangor tetapi Pusat kerana masa depan rakyat terutamanya golongan muda perlu diberikan perhatian umum.

“Lima tahun kita sengsara, tuantuan hendak sengsara lima tahun lagi?
Saya tidak mampu, saya cakap terus terang. Saya merayu kepada tuantuan, saya tidak mahu seperti 2008.
“Hari ini kita mahu satu kepimpinan yang boleh membela rakyat, transformasi manifesto Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak begitu menyeluruh, semua bakal menikmatinya.

Jangan lepas peluang ini, khususnya generasi baru yang banyak peluang di masa hadapan,” katanya. - SH

Siapa hendak beri orang macam awak ini bertanding?