26 April 2013

Kereta anak perempuan calon PKR dibakar

Dua kereta milik anak perempuan calon PKR Dr Xavier Jayakumar terbakar apabila sekumpulan lelaki membaling bekas berisi minyak tanah di pintu masuk kediamannya di Klang Jaya, Klang, semalam.

Kejadian itu dipercayai sebagai satu lagi insiden bermotifkan politik.

Dalam kejadian pada jam 11 malam itu, ejen pilihan raya Sangetha Jeyakumar, 30, berada bersama bapanya di pusat khidmat Pakatan Rakyat untuk bermesyuarat selepas satu sesi ceramah.

Seorang jiran yang tidak mahu dikenali berkata, dua orang lelaki, seorang daripadanya bersenjatakan parang, dalam sebuah kereta Kia Sephia berwarna perak, turun dari kereta itu dan memanjat pintu pagar rumah tersebut untuk masuk ke halamannya.

"Anjing saya mula menyalak semasa kedua-dua lelaki itu menjerit dengan kuat sebelum memanjat pintu pagar.

"Saya menjerit kembali untuk memberi amaran kepada jiran saya tetapi diancam oleh mereka supaya jangan masuk campur atau jika tidak, mereka akan membuang bekas berisi minyak tanah ktu ke dalam rumah saya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Suami, anak kecil dan amah ada di rumah

suami Sangetha, Dr Arnil Srimanne, 36, anak kecilnya berusia setahun dan pembantu rumah mereka berada di rumah ketika kejadian itu berlaku.

"Saya terdengar satu kekecohan dan menjenguk keluar melalui tingkap rumah saya apabila mereka menjerit lucah dan mengugut saya," kata Arnil.

Katanya, suspek kemudian memecahkan tingkap belakang kereta isterinya yang diletakkan di anjung depan sebelum mencurahnya dengan minyak tanah dan membakarnya.

Menurutnya, dalam keadaan tergesa-gesa kerana orang ramai telah berkumpul di situ, suspek melemparkan salah satu bekas berisi minyak tanah ke sebuah lagi kereta sebelum meninggalkan tempat kejadian," katanya.

Dalam masa beberapa minit, kereta bomba tiba untuk memadamkan api.

Ketika ditemui, Xavier (kanan) yang juga penyandang kerusi DUN Seri Andalas, berkata beliau percaya kejadian itu bermotifkan politik.

Katanya, kejadian berlaku terhadap anaknya kerana dia terlibat dalam politik dengan beliau.

Sementara itu polis yang tiba di tempat kejadian sedang menyiasat kes itu sebagai perbuatan membakar

Xavier akan mempertahankan kerusi itu pada 5 Mei ini dalam pertarungan lima penjuru dengan Ketua Pemuda MIC, T Mohan, P Uthayakumar daripada Parti Hak Asasi Manusia dan dua calon Bebas, KS Kottappan Suppiah dan Hanafiah Husin. - The Malay Mail

Dijangka keganasan seperti ini akan terus berlaku memandangkan PR semakin hampir ke Putrajaya.