Menteri pertahan Jabatan Penerangan bantu BN
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim
mempertahankan tindakan BN menggunakan khidmat Jabatan Penerangan dalam
acara anjuran parti itu, seperti yang dikesan dalam satu majlis di Kuala
Lumpur.
Beliau berpendapat, BN yang masih dianggap sebagai
kerajaan sementara pada masa ini boleh berbuat demikian selagi tempoh
kempen pilihan raya belum bermula.
"Sekarang kita di dalam
suasana lingkungan bidang tugas kerajaan sementara. Kerajaan masih wujud
di bawah Perkara 43 (Perlembagaan Persekutuan) dan perkara yang
melibatkan kuasa eksekutif – Perkara 38 (melibatkan) Majlis Raja-Raja
dan juga Perkara 43 (melibatkan) kuasa lantikan menteri – menteri dan
juga di bawah akta fungsi menteri, semua menteri berfungsi dan semua
jabatan kerajaan seperti biasa.
"Tetapi apabila dimulakan hari
penamaan calon, pada hari itu tidak boleh mana-mana jabatan kerajaan
mengambil bahagian dalam apa jua program yang menampakkan membantu
pilihan raya satu-satu parti," katanya.
Rais bercakap kepada
pemberita dalam satu sidang media selepas satu majlis bersama sekumpulan
pemuzik jalanan di di Kuala Lumpur petang ini.
Beliau ditanya mengenai kenderaan milik Jabatan Penerangan yang dikesan digunakan untuk membantu majlis perasmian pusat operasi pilihan raya BN pada hari Ahad lalu untuk kawasan parlimen Batu di Kuala Lumpur.
Ia
melibatkan dua kenderaan kegunaan khas (SUV) dengan satu daripadanya
dipasang pembesar suara dan satu van yang diparkir di lokasi berdekatan.
Bagaimanapun, usaha Malaysiakini untuk mendapatkan
ulasan rasmi mengenai kemungkinan penyalahgunaan jentera kerajaan
ditolak dengan keras oleh penganjur acara terbabit.
Wartawan Malaysiakini
yang membuat liputan diherdik dan diancam untuk "dilepuk" oleh
penganjur apabila memohon penjelasan berhubung kehadiran kenderaan
tersebut pada majlis kempen BN. - Mkini
Umno-BN = salahguna kuasa