GERIK 5 April - Ketika demam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin
terasa, empat bekas pemimpin tentera yang diperalatkan pakatan
pembangkang semakin biadab apabila menggunakan pentas-pentas ceramah
bagi melemparkan penghinaan dan ungkapan kasar terhadap
pemimpin-pemimpin negara.
Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diberi
gelaran seperti 'bangang', 'bodoh' dan 'Najib Altantuya', mereka turut
menjadikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sebagai sasaran
dengan memberi gelaran 'nyanyuk' kepada negarawan itu.
Tindakan mereka ternyata tidak disenangi orang ramai apabila
sebahagian hadirin yang mendengar ceramah anjuran pembangkang di Taman
Semarak, di sini malam tadi, tidak memberi tindak balas atau respons
setiap kali penghinaan tersebut dilemparkan.
Tidak cukup dengan itu, empat bekas pemimpin tentera tersebut iaitu
Jeneral (B) Tan Sri Md. Hashim Hussein, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul
Ghafir Abdul Hamid, Laksamana Pertama (B) Imran Abd. Hamid dan
Brigedier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Khatab terus melemparkan tohmahan
terhadap kerajaan.
Antara tuduhan yang dibuat ialah aset persenjataan dibeli pada harga
yang berlipat kali ganda daripada sepatutnya, tidak secara tender
terbuka, tidak mendapatkan pandangan daripada pegawai tentera dan
pemberian komisyen pembelian kepada individu tertentu.
Namun, tidak seorang pun daripada empat bekas pemimpin tentera
tersebut yang bakal menjadi 'calon payung terjun' pakatan pembangkang
mengemukan bukti bagi menyokong dakwaan mereka.
Sebaliknya hanya membuat tuduhan secara membuta tuli bagi mengelirukan rakyat.
Tidak cukup dengan itu, Abdul Ghafir cuba memperbodohkan rakyat
apabila membuat dakwaan bahawa perisikan polis dan tentera meramalkan
bahawa pakatan pembangkang bakal menang pada PRU-13.
"Saya ingin menyatakan daripada ramalan polis dan perisikan tentera telah meramalkan Pakatan Rakyat akan memenangi PRU-13.
"Oleh kerana polis telah membuat ramalan, sudah tentu persediaan
telah dibuat untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang diupah naik
motor, baling batu dan sebagainya," katanya
Tindakan beliau itu dilihat sebagai strategi untuk menagih sokongan
rakyat supaya pengundi pakatan pembangkang yang kononnya bakal menawan
Putrajaya pada PRU-13. - UTUSAN ONLINE
Jeneral di barisan PR, patut sangatlah tentera biasa ni sokong PR demi kesejahteraan mereka sendiri juga.