23 April 2013

Pencalonan Zul Noordin sukar dipercayai, kata Anwar

PETALING JAYA, 23 April — Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pencalonan bekas peguam belanya Datuk Zulkifli Noordin sesuatu yang sukar dipercayai, menambah naib presiden Perkasa tersebut seorang yang perkauman.

Pencalonan Zulkifli sebagai calon Shah Alam menyebabkan Barisan Nasional (BN) menerima banyak kritikan terutama apabila baru-baru ini video beliau menghina penganut agama Hindu tersebut luas di ruang internet.

“Ia amat sukar untuk saya memahami rahsia di sebaliknya. Kenapa orang-orang seperti Zulkifli Noordin diberikan kerusi?
“Apakah perjanjian rahsia? Saya tidak tahu. Ia membingungkan, ia adalah sukar dipercayai,” katanya kepada wartawan di ibu pejabat PKR di sini.

Anwar (gambar) berkata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak telah mengambil langkah salah apabila meletak calon yang tebal perkaumannya, malahan beliau sendiri tidak menolak penyokong Umno sendiri pun ada yang bingung dengan keputusan itu.

“Tetapi masih Datuk Seri Naijb Razak seolah-olah terpaksa atau dipaksa untuk membariskan pencalonan beliau.
“Saya fikir jika anda bercakap secara rawak kepada penyokong Umno, mereka juga agak bingung,” tambahnya.
Di samping itu, Anwar juga berkata walaupun terdapat gambar penyokong MIC yang dikatakan memberi sokongan kepada Zulkifli, perkara tersebut tidak penting kerana Zulkifli tetap seorang yang kuat sifat perkaumannya.

“Sudah semestinya kamu boleh membayar penyokong MIC untuk keluar dan cium tangannya, tapi itu tidak penting,” katanya lagi.
Video menunjukkan Zulkifli menggunakan perkataan “Keling”, yang masyarakat India rasakan sebagai penghinaan kaum, tersebar baru-baru ini, beberapa hari selepas satu lagi video menyaksikan beliau mempersoalkan seorang peniaga India mengapa tuhan Hindu tidak menyelamatkan kedainya daripada banjir, menyebabkan kemarahan penganut Hindu.

Zulkifli mengakui kesilapannya itu dan meminta maaf serta mendakwa mengeluarkan kata-kata tersebut semasa bersama PAS.
Zulkifli menjadi ahli parlimen bebas mesra BN dan kritikal terhadap Pakatan Rakyat (PR) apabila beliau dipecat PKR pada 6 Mac 2010 ekoran laporan polis beliau ke atas penyandang ahli parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad.

Beliau juga memberitahu fz.com yakin “101 peratus” akan menang kerusi Shah Alam mengalahkan calon PAS yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum 2008.
Fokus terarah kepada Selangor, yang dikatakan nadi kepada kepesatan ekonomi dan pentadbiran PR dibawah Menteri Besar (MB) sepenggal Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa oleh BN gagal mempamerkan prestasi baik untuk mengekalkan sokongan seperti pada tahun 2008 lalu.

PR selepas pilihan raya umum 2008 mempunyai penguasaan yang ketara ke atas negeri terkaya tersebut dan memegang 36 kerusi daripada 56 kerusi dewan undangan negeri serta 17 daripada 22 kerusi parlimen. - TMI Kita tengok nanti siapa yang kena.