KUALA LUMPUR, 23 April — Naib pengerusi MIC Shah Alam C Supayah
bersama 104 pengikutnya hari ini keluar daripada parti tersebut sebagai
tanda bantahan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana meletakkan Datuk
Zulkifli Noordin sebagai calon di kerusi Parlimen Shah Alam.
Perkembangan terbaru ini memberi tamparan hebat kepada BN terutamanya
dalam misi untuk merampas negeri Selangor dan pemimpin utama MIC S
Vell Paari juga pernah memberikan amaran sama sebelum ini.
"Ya, hari ini saya hantar surat keluar parti... seramai 104 pengikut
saya juga mengambil tindakan sama," kata Supayah apabila dihubungi The
Malaysian Insider hari ini.
Supayah yang memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi MIC Shah Alam
sejak 2009 juga memberikan tiga alasan mengambil langkah keluar parti,
salah satu sebab utamanya adalah kerana faktor pengumuman Zulkifli dari
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) sebagai calon BN di Shah
Alam.
"Sebab pertama adalah kerana meletak calon Perkasa Zulkifli Noordin,
dia sebelum ini telah menghina masyarakat India dan penganut agama
Hindu.
"Bukankah itu jelas penghinaan?" kata Supayah lagi. Faktor kedua yang
menyebabkan beliau mengambil keputusan tersebut adalah kerana tindakan
Ketua Bahagian Umno Shah Alam Datuk Ahmad Nawawi Mohd Zin memijak
kepala lembu pada tahun 2009 di samping tindakan calon BN Che Johan Che
Pa di Pasir Mas yang memberikan laluan kepada Presiden Perkasa Datuk
Ibrahim Ali untuk mempertahankan kerusi parlimen tersebut.
"Sebab kedua adalah kerana Datuk Nawawi kerana beliau pernah menghina
penganut Hindu dengan memijak kepala lembu pada 2010 dan sebab ketiga
adalah kerana calon BN memberi laluan kepada Ibrahim Ali bertanding.
"Bukankah itu bermaksudnya Umno sokong Perkasa," kata Supayah yang
tidak berpuas hati dengan tindakan BN memberi dua kerusi kepada calon
bebas daripada Perkasa.
Supayah yang juga pengerusi MIC Shah Alam Seksyen 18 timur, di mana
semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru melawat berkata
keputusan yang dibuatnya itu mendapat sokongan rakan beliau dan juga
pemimpin India lain.
"Sebaik saya buat pengumuman itu, saya menerima banyak panggilan
daripada rakan dan juga orang yang tidak dikenali... semua mereka
mengucapkan tahniah kerana keberanian saya berbuat demikian," terangnya
lagi.
Semalam, Najib selepas lawatannya di Shah Alam mengeluarkan kenyataan
mempertahankan Zulkifli bertanding kerusi parlimen tersebut dan
berkata bekas ahli parlimen PKR tersebut sudahpun berjuang untuk isu
melibatkan kaum India seperti Sekolah Tamil serta kuil dan rakyat sudah
mula menyokong beliau.
Walau bagaimanapun, pencalonan Zulkifli sebagai calon Shah Alam
menyebabkan gabungan pemerintah tersebut menerima banyak kritikan
terutama apabila baru-baru ini video beliau menghina penganut agama
Hindu tersebut luas di ruang internet.
Fokus terarah kepada Selangor, yang dikatakan nadi kepada kepesatan
ekonomi dan pentadbiran PR di bawah Menteri Besar (MB) sepenggal Tan
Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didakwa oleh BN gagal mempamerkan prestasi
baik untuk mengekalkan sokongan seperti pada tahun 2008 lalu.
PR selepas pilihan raya umum 2008 mempunyai penguasaan yang ketara ke
atas negeri terkaya tersebut dan memegang 36 kerusi daripada 56 kerusi
dewan undangan negeri serta 17 daripada 22 kerusi parlimen. - TMI
Saya tidak terkejut jika keluar berita Zul cium ahli MIC pula untuk memohon kemaafan.