Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali hari ini enggan mengulas
berhubung dakwaan beliau terlibat dalam aksi lucah bersama seorang
wanita tidak dikenali, yang disebarkan dalam bentuk video di blog-blog
pro-Umno.
"Saya tidak akan menjawab sebarang pertanyaan mengenai isu yang diperkatakan.
"Semuanya
saya telah serahkan kepada peguam saya melalui Awi & Co untuk
uruskan," katanya dalam kenyataan satu perenggan yang disiarkan dalam
akhbar web PAS Harakahdaily sebentar tadi.
Lapan hari
sebelum penamaan calon, beberapa blog pro-Umno memuatkan video
melibatkan pemimpin itu dengan seorang wanita tidak dikenali dalam
sebuah bilik hotel.
Penulis blog Papagomo mendakwa, wanita dalam
video itu mengaku diupah PKR untuk memerangkap pemimpin itu - yang
menurutnya orang paling lantang mendesak ke arah penyatuan PAS-Umno
melalui kerajaan perpaduan.
Naib Presiden PKR N Surendran
bagaimanapun berkata, dakwaan itu tidak berasas. Laman perkongsian
Youtube sudah membuang video itu.
Harakahdaily: Mustafa mangsa politik Umno
Sementara itu, Harakahdaily juga melaporkan Mustafa sebagai mangsa "politik buruk Umno" dalam membunuh musuh politik selepas kelihatan tersepit.
Antara
keadaan itu, menurut organ PAS itu lagi, apabila menifesto BN hanya
disokong 19 peratus rakyat Malaysia, menurut undian dalam talian sebuah
harian berbahasa Melayu.
Selain itu, menurut Harakahdaily lagi,
BN tersepit apabila Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek mengumumkan
tidak bertanding dalam pilihan raya - langkah yang disifatkan sejarah
baru politik Malaysia apabila presiden parti komponen BN enggan
bertanding.
"Dalam suasana tertekan inilah video lucah dikeluarkan lagi oleh BN untuk menekan Pakatan Rakyat," laporan itu dipetik.
Malah, tindakan menuding jari kepada PKR juga bertujuan melaga-lagakan kedua-dua rakan dalam Pakatan itu. - Malaysiakini
Bukan jawapan ini yang akar umbi mahu dengar.