Penyelaras BN Selangor Mohd Zin Mohamed percaya, naib presiden kumpulan
pendesak Melayu PERKASA Zulkifli Noordin dipilih sebagai calon Shah Alam
kerana beliau paling boleh menang berbanding calon lain.
Bercakap
kepada pemberita selepas Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak
mengumumkan calon mereka di Selangor, Mohd Zin berkata, pemilihan
Zulkifli sesuai dengan rancangan tranformasi kerajaan.
Sambul mengalu-alukan Zulkifli, Mohd Zin (kiri) menyifatkan langkah itu sebagai tranformasi politik seperti yang dihasratkan Najib yang juga perdana menteri.
Pemimpin
kanan BN itu juga berkata, jika perkara itu tidak dilakukan, BN akan
tetap berada di tahap yang sama dan tidak dapat menerokai peluang yang
ada.
Zulkifli yang sebelum ini menang di Kulim Bandar Baru atas tiket PKR, diumumkan terpilih oleh Perdana Menteri merangkap pengerusi BN Selangor Datuk Seri Najib Razak di Shah Alam hari ini.
Pertembungan ini pasti mengimbau kembali kes 2010 apabila Zulkifli dipecat oleh PKR, ekoran kes berkaitan Khalid.
Tindakan itu diambil antaranya kerana beliau membuat laporan polis
terhadap Khalid atas dakwaan menghina enakmen Selangor yang menghalang
bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
Khalid Samad: Nilai ucapan Zul
Sementara
itu, Khalid berkata, beliau yakin pengundi Shah Alam boleh menilai
calon BN itu dengan meneliti ucapan-ucapannya dan apa yang dilakukannya
di Kulim-Bandar Baru sebelum ini.
"Selain
itu juga ini turut membuktikan Najib hilang keyakinan untuk meletakkan
calon tempatan sehingga sanggup mengambil calon luar bagi mewakili
mereka," beliau dipetik sebagai berkata kepada Harakahdaily.
Khalid (atas, berbaju hijau)
juga menegaskan akan berkempen secara profesional dengan menjelaskan
manifesto Pakatan Rakyat dan tidak akan menyerang peribadi Zulkifli.
PKR: Terus sokong rasisme
Sementara
itu, dalam reaksi segeranya, Naib Presiden PKR N Surendran berkata, di
sebalik slogan 1Malaysia, BN sebaliknya terus menyokong rasisme dan
sikap fanatik beragama.
Dalam kenyataannya, Surendran (kanan)
berkata, pengumuman BN hari ini jelas menunjukkan kenapa Zulkifli tidak
disiasat atas "jenayah" berhubung kenyataannya berhubung agama Hindu
dan masyarakat India sebelum ini.
"Walaupun ada kemarahan awam,
pihak polis dan peguam negara tidak bertindak terhadap Zulkifli,walaupun
kenyataannya menjadi kesalahan bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan,"
katanya.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun atas kesalahan mencetuskan keadaan tidak harmoni.
Zulkifli sebelum ini diselubungi kontroversi selepas didakwa membuat
kenyataan bersifat menghasut terhadap penganut Hindu dalam video 5 minit
di Youtube.
Selepas mendapat kritikan keras dan meluas
pembangkang dan aktivis masyarakat India, Zulkifli akhirnya memohon maaf
dan menjelaskan bahawa ucapan itu dibuat 10 tahun lalu ketika beliau
berada dalam PAS. - Mkini
Maksudnya calon Umno-BN yang lain lebih teruk dari Zulkifli. Rakyat Selangor tetap kosisten memilih PR.