LUMUT - Peluang Barisan Nasional (BN) untuk mempertahan kerusi Parlimen
Kuala Kangsar tidak tergugat dengan tindakan bekas Naib Ketua Umno,
Datuk Kamilia Ibrahim menjadi calon Bebas bertanding di kawasan itu pada
pilihan raya umum 5 Mei ini, kata Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr
Zambry Abdul Kadir.
"Beliau sudah buat keputusan, jadi kita (BN) anggap beliau bukan calon
BN dan kita terima keputusannya... BN tidak bimbang dengan peluang untuk
menang meskipun beliau bertanding di situ dan kita akan lawan.
"Namun saya kecewa apabila beliau menjadi orang yang tidak ada prinsip
selepas tidak dapat menerima keputusan parti yang menawarkannya
bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun Bukit Chandan,"
katanya ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon di Majlis
Perbandaran Manjung di sini hari ini.
Beliau berkata, Kamilia (yang dipecat secara automatik sebagai anggota
Umno hari ini) sepatutnya mencontohi mereka yang senior dan mempunyai
jawatan lebih tinggi daripadanya seperti bekas Presiden Gerakan mendiang
Tun Dr Lim Keng Yaik dan Presiden Parti Progresif Penduduk Datuk M.
Kayveas yang sanggup bertanding kerusi Dun.
"Meskipun Kayveas memegang jawatan presiden parti namun beliau dengan
rendah hati menerima amanah daripada BN untuk bertanding kerusi Dun
Pasir Berdamar... jadi saya tidak fahamlah kenapa ini yang berlaku,"
katanya.
Keng Yaik juga pernah bertanding kerusi negeri Jalong, Perak pada PRU
1978 walaupun ketika itu beliau merupakan timbalan presiden Gerakan.
Zambry berkata, BN telah buat yang terbaik dan memberikan kedudukan
yang sebaik-baiknya malah telah memberitahu alasan mengapa, tetapi
Kamilia tetap juga dengan pendirian beliau.
Pemilihan calon BN dibuat selepas mendapatkan maklum balas daripada
anggota dan rakyat peringkat akar umbi sebelum pucuk pimpinan tertinggi
membuat keputusan muktamad, katanya.
Mengulas pertandingan tiga penjuru yang akan dihadapinya bagi kerusi
Dun Pangkor, Zambry berkata beliau tiada masalah untuk bertanding dengan
sesiapa sahaja.
Zambry akan dicabar calon PKR, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli dan calon Bebas Benard Parenpa.
"Calon Bebas itu kita tak kenal, dengar kata dia dari Selangor, bukan
tempatan tetapi tiada masalah. Saya boleh faham mengapa, mungkin mereka
tidak mahu beri laluan mudah tetapi dalam proses demokrasi sesiapa pun
boleh
bertanding," katanya.
Zambry juga kesal ada penyokong pembangkang yang membuat bising dan
melanggar garisan yang ditetapkan Suruhajaya Pilihan Raya ketika
berhimpun di pusat penamaan calon sehingga mengganggu kelancaran
pengumuman calon oleh pengawai pengurus pilihan raya.
"Ini ialah permulaan contoh tidak baik, tindakan mereka melanggar
peraturan, sedangkan penyokong BN mematuhi dengan berkumpul di lokasi
yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, beliau berkata BN Perak akan terus bekerja keras
termasuk memperbanyak kerja turun padang untuk meyakinkan dan memenangi
hati pengundi di seluruh pelusuk negeri. - Bernama
Umno-BN telah rampas prinsip wanita. Itulah sebab Kamilia melawan arus.