BN Alor Setar memulakan kempen sulungnya selepas proses penamaan calon
dengan mengundang negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menuipkan
semangat kepada ahli dan jentera BN malam tadi untuk menghadapi pilihan
raya umum 5 Mei ini.
Kira-kira 300 anggota dan jentera parti itu
hadir dalam usaha mereka merampas semula dua kerusi yang dimenangi
Pakatan Rakyat - Alor Mengkudu dan Kota Darulaman - sekaligus
mempertahankan kerusi parlimen Alor Setar dan DUN Bakar Bata.
Hadirin
sebelum itu menikmati jamuan pelbagai juadah tidak berganjak dari Bilik
Gerakan BN Alor Setar untuk mendengar amanat bekas presiden Umno itu.
Sebelum
itu, diadakan majlis ucapan ringkas daripada bakal calon yang akan
bertanding di parlimen dan DUN dalam Alor Setar. Turut hadir bekas
menteri besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zin.
Dalam ucapannya,
Dr Mahathir mengingatkan anggota BN dan penyokong supaya memberi
kemenangan kepada parti dan bukan individu termasuk ahli Umno yang
bertanding atas tiket Bebas.
Menurut bekas presiden Umno itu,
kerajaan yang kuat dibina berdasarkan mandat yang diperolehi, manakala
individu bebas dan berseorangan tidak mungkin membina kerajaan.
"Saya
kecewa ada (orang Umno) tanding bebas. Kekuatan dipecahkan. Tak ada
cara (melainkan pecat)... Sabar dan sokong parti, nak jadi wakil rakyat,
tapi tak dipilih, (maka) berjuang untuk parti.
"Parti kita
menang akan tubuh kerajaan. (Kena) sokong seratus peratus. Parti kita
mesti menang... Sokong BN. Jika kita dapat kelebihan undi yang banyak,
kita akan tadbir negeri ini dengan cukup baik," katanya.
Beliau
mengulas berhubung beberapa bekas dan pemimpin Umno yang membuat
keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas selepas selesai proses
penamaan calon bagi pilihan raya umum kali ini.
Antara pemimpin
Umno yang bertanding sebagai calon Bebas ekoran tidak berpuas hati
menjadi calon antaranya Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim,
bekas Ketua Bahagian Umno Tasek Gelugor Datuk Seri Mohd Shariff Omar dan
bekas exco Kedah Datuk Fadzil Hanafi.
Berucap dalam majlis
pengenalan calon parlimen Alor Setar dan DUNnya, Dr Mahathir membidas
kerajaan Pakatan Rakyat yang "tidak dapat memajukan" negeri itu
melainkan hanya menikmati "saki baki" kemajuan yang dilakukan kerajaan
BN sebelum ini.
Sambil tidak menyalahkan rakyat yang "cuba"
memilih Pakatan Rakyat pada 2008, beliau berkata, kini mereka mulai
sedar dan membuat perbandingan dengan kemajuan yang dibawa kerajaan BN
selama ini.
Sehubungan itu, beliau mengharap agar rakyat memilih
kerajaan BN untuk merampas semula negeri itu daripada Pakatan Rakyat
yang disindirnya sebagai "Pakatan yang tak nak berpakat".
"Parti
itu (Pakatan Rakyat) tidak cekap dan tidak dapat memajukan negeri Kedah
ini... tapi rakyat (kini) dapat membuat perbandingan... lima tahun kita
bagi dekat dia, apa pun tak ada.
"Kita tak marah kepada rakyat,
rakyat nak cuba-cuba... Sudah lima tahun, sudahlah, cukuplah, baliklah,"
katanya sambil diiringi tepuk hadirin yang hadir dalam majlis anjura
Pemuda BN Alor Setar.
"Kita rampas Kedah, saya yakin kita dapat
majukan lagi negeri Kedah. BN akan bangunkan industri di negeri Kedah
ini," katanya lagi.
Dalam ucapannya juga, Dr Mahathir turut
menceritakan kemajuan termasuk sewaktu beliau menjadi perdana menteri
termasuk memajukan Langkawi sehingga kini menerima pelancong hampir tiga
juta orang.
Ia sekaligus boleh menjana pendapatan rakyat di
negeri itu daripada hasil pelancongan dan kegiatan ekonomi yang
dilakukan, katanya.
Beliau juga menerangkan usaha BN memberi
bantuan biasiswa pendidikan, menyediakan pembangunan prasarana dan
kemudahan pengangkutan awam seperti landasan keretapi berkembar dan
keretapi elektrik untuk kemudahan rakyat.
Menurutnya lagi apa
yang dijanjikan dalam manifesto BN akan ditunaikan oleh kerajaan BN jika
diberi mandat khususnya di negeri itu dan sebaliknya menyindir Menteri
Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang menyatakan manifesto itu
bukan janji.
"Orang Kedah dan Pemuda BN kena menilai jasa dan
bakti (BN) kepada orang Alor Setar akan nikmat yang diterima. Kenang
budi, kembalikan (Kedah pada) BN," katanya sambil menyeru supaya orang
ramai keluar mengundi pada 5 Mei untuk "menjatuhkan" Pakatan Rakyat di
Kedah.
"Kalau (BN) tak laksana janji, beritahu saya, saya nak tibai," katanya yang mengundang gelak ketawa hadirin.
"Kita tidak buat janji yang tidak munasabah," katanya lagi. - Mkini
Rakyat: 'Dah lima puluh tahun, sudahlah, cukuplah, baliklah...'