24 April 2013

Empat remaja lelaki ditahan

SHAH ALAM 23 April - Polis menahan empat remaja lelaki bagi membantu siasatan kes seorang wanita yang maut ditikam dalam cubaan samun semasa menyertai larian amal bersama keluarganya di Bukit Gasing, Petaling Jaya dekat sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, remaja berusia 16 hingga 18 tahun itu diberkas dalam tiga serbuan berasingan di Flat Sri Medan dan Flat Bukit Gasing Indah di Petaling Jaya pada awal pagi ini.
Beliau berkata, keempat-empat suspek yang tidak bekerja itu ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan, Ong Ai Sam, 52.

“Pasukan khas dari Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berjaya menangkap suspek pertama iaitu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sebuah rumah di Flat Sri Medan pada pukul 1.30 pagi ini.



“Selepas 10 minit kemudian, seorang lagi remaja berusia 18 tahun ditangkap di flat sama, manakala dua lagi suspek berusia 17 dan 18 tahun diberkas di Flat Bukit Gasing pada pukul 3.30 pagi," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Ai Sam, mati ditikam dua suspek menaiki motosikal jenis Honda EX5 ketika membuat laluan meredah denai untuk satu program peserta Kelab Kiwanis bersama anaknya di Bukit Gasing.
Mangsa ditikam semasa cuba menyelamatkan anak perempuannya, Hui Ying Chin, 17, yang membawa sebuah beg silang mengandungi wang tunai RM60 dan sebuah telefon bimbit daripada disamun dua penjenayah berkenaan.

Ai Sam disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini.
Menurut Tun Hisan, kesemua suspek yang ditahan kini direman selama empat hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis dari IPD Petaling Jaya telah mengadakan pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) penduduk di kawasan berkenaan semalam dan akan membuat perjumpaan kali kedua pada pukul 2 petang esok, bagi membincangkan soal keselamatan di situ.

“Kita menyarankan supaya penduduk di kawasan sekitar dapat hadir untuk berbincang terutama berkaitan aspek keselamatan memandangkan lokasi kejadian sunyi dan tidak sesuai untuk dijadikan tempat berjoging.
“Polis turut nasihatkan penduduk supaya bergerak secara berkumpulan agar lebih selamat dan jangan mengambil risiko bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya. - Utusan