Pemilik blog yang menyiarkan video aksi seks seorang lelaki mirip
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali digesa menampilkan empat orang
saksi bagi membuktikan identiti lelaki dalam video tersebut.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan (kiri) berkata empat saksi itu adalah tuntutan hukum qazaf
yang perlu dipenuhi oleh mereka yang membuat tuduhan zina terhadap orang lain.
"Hanya yang jahil dan kurang menghayati ajaran Islam akan ada rasa berbelah bahagi (tentang video itu).
"Keperluan
membawa empat saksi ini telah diputuskan oleh ulama-ulama terkemuka
seperti Sheikh Wahbah Zuhaili dan Dr Yusof Qaradhawi," katanya kepada
Malaysiakini ketika diminta mengulas dakwaan tersebut.
Menurutnya, Muslim yang berpegang kepada ajaran Al-Quran juga digesa agar tidak menyebar atau menyuburkan video sebegitu.
"Jadi kalau (video itu) ada di Facebook juga kita digesa jangan 'Like' atau 'Share'," katanya lagi.
Beberapa
blog pro-Umno semalam menyiarkan video lucah aksi seks seorang lelaki
mirip Mustafa dengan seorang wanita yang tidak dikenali.
Mustafa
dalam reaksinya dilaporkan berkata video itu adalah fitnah Umno
semata-mata dan beliau telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil
tindakan yang sesuai berhubung dakwaan itu.
Pengarah Pusat Kajian
Demokrasi Dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Datuk Dr
Mohammad Redzuan Othman (kiri) pula berkata penyiaran video itu akan
mengukuhkan tanggapan masyarakat yang ia merupakan "kerja Umno".
"Video ini dan video-video lucah sebelum ini semuanya mula diterbitkan blog-blog yang pendirian mereka adalah pro-Umno.
"Begitu juga dengan video terbaru ini yang turut mula ditayangkan oleh pengendali blog-blog politik pro-Umno," katanya.
Menurutnya
lagi, Umno perlu mengeluarkan kenyataan mengutuk penyiaran video
sebegitu untuk menjauhkan diri mereka daripada mereka yang
menyiarkannya.
Berdasarkan kajian beliau sebelum ini juga, hanya
sekitar 18 hingga 21 peratus pengundi mempercayai ketulenan video seks
lelaki mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim dan satu lagi gambar lucah lelaki
mirip timbakan presiden PKR, Azmin Ali.
Justeru, beliau menjangkakan kesan yang sama akan turut berlaku kepada penyiaran video lucah mirip Mustafa Ali itu. - Mkini
Kita sepatutnya berterima kasih kepada orang yang mendedahkan perilaku buruk pemimpin. Amatlah malang jika seorang penzina menjadi pemimpin umat. ABIM sepatutnya desak PAS siasat kesahihan video tersebut.