KUALA LUMPUR - Tokoh Maal Hijrah 2005 Dr Muhammad Uthman El-Muhammady,
70, meninggal dunia di kediamannya di Institut Antarabangsa Pemikiran
Islam dan Ketamadunan (Istac) malam tadi akibat sakit jantung.
Dr Muhammad meninggal dunia pada kira-kira 7.30 malam.
Beliau meninggalkan seorang balu Mariam Hussain, 65, dan 11 anak iaitu
tujuh perempuan dan empat lelaki, berumur antara 20-an dan 40-an serta
lebih 40 cucu.
Anak lelaki Allahyarham, Ahmad, 35, berkata, bapanya tidak menunjukkan
sebarang perubahan atau mengadu sakit namun kelihatan letih siang tadi.
"Allahyarham ketika itu sedang membaca buku dan mengadu kepada ibu saya
yang beliau letih dan ingin tidur, sebelum ibu menyedari bapa saya
telah meninggal dunia dalam tidur," katanya kepada pemberita.
Ahmad berkata bapanya juga sebelum ini tidak menunjukkan kelakuan pelik
namun Allahyarham kelihatan begitu gembira pada Ahad lepas ketika
berkumpul bersama anak serta cucunya.
Beliau berkata Allahyarham yang menghidap sakit jantung sejak setahun lepas juga sempat menterjemah dua buku agama.
Allahyarham akan dimandi dan disembahyang di Masjid Universiti Islam
Antarabangsa (UIA), Gombak pada 9 pagi ini sebelum dikebumi di Tanah
Perkuburan Islam UIA selepas solat Zohor.
Dr Muhammad, yang merupakan tokoh pemikir Islam tanah air, dilantik
Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia sejak 1995 hingga 2008,
sebelum dilantik semula hingga 2010.
Allahyarham juga adalah Felo Amat Utama Akademik Istac UIA dan anggota
lembaga pemegang amanah Yayasan Karyawan, juga pensyarah sambilan
peringkat ijazah sarjana dalam perbandingan agama di Universiti
Teknologi Mara (UiTM). - Bernama