KUALA LUMPUR - Dalam debaran menunggu pengumuman pembubaran Dewan
Rakyat, parti-parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
melahirkan keyakinan bahawa mereka sudah bersedia untuk menghadapi
pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang ditunggu-tunggu itu.
Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional (BN), Datuk
Ahmad Maslan berkata, jentera penerangan BN telah mengadakan sesi
taklimat dan ceramah di seluruh negara, dan esok adalah yang terakhir di
Sabah.
"Selagi belum pilihan raya kita kena terus bersiap dan terus bekerja
tanpa henti sehingga kita tahu keputusannya. Segalanya sudah siap, kita
hanya tunggu
manifesto dan pengumuman calon sahaja," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata,
manifesto BN biasanya akan dilancarkan selepas pembubaran Dewan Rakyat
dan nama calon setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun)
akan diumumkan sebelum hari penamaan calon.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti biasa
terus sibuk dengan jadual hariannya di Putrajaya manakala esok, beliau
dijadual menghadiri beberapa program di Pahang.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, SPR juga sama
seperti pihak lain yang menunggu pengumuman pembubaran Dewan Rakyat.
"Sebelum masanya tiba, segala usaha penambahbaikan diteruskan SPR bagi
memastikan PRU kali ini berjalan lancar termasuk membersihkan daftar
pemilih," katanya.
Beliau berkata esok SPR masih mengadakan taklimat kepada Pegawai
Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus peringkat Wilayah Persekutuan dan
mengikut jadual taklimat itu adalah yang terakhir.
Seandainya PRU13 diadakan dalam masa terdekat, jumlah keseluruhan yang layak mengundi ialah seramai 13,291,385 orang.
Bagi mereka yang mendaftar sebagai pemilih pada suku pertama tahun 2013
masih ada harapan untuk mengundi dalam PRU13 jika Dewan Rakyat atau
Dewan Undangan Negeri dibubar pada hujung April, dan hari pengundian
diadakan selepas cukup tempoh 60 hari.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam laman twitternya pula
berkata, ahli MCA menunjukkan semangat yang tinggi dan bersedia untuk
PRU13.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, jentera parti tersebut
telah berada pada tahap kesiapsiagaan yang terakhir dan segala persiapan
bagi
menghadapi PRU13 sudah berada di tahap terakhir.
Beliau berkata, Pas membuat persediaan sejak setahun lepas berikutan
jangkaan bahawa pilihan raya kali ini merupakan yang paling sengit dalam
sejarah tanah air.
Mengenai pemilihan calon, Salahuddin berkata senarai tersebut sudah 99
peratus selesai dan Pas bakal menampilkan calon yang terdiri daripada
pelbagai
latar belakang termasuk ulama, profesional, aktivis masyarakat dan tidak dilupakan calon wanita. - Bernama
Rakyat sudah tidak sabar untuk tukar kerajaan Umno-BN.